PULAU PINANG – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan bapanya yang juga Penasihat DAP, Lim Kit Siang dicabar supaya menjadi `anak jantan’ dan mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP.
Saranan itu dilontarkan Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan sekali gus menempelak kedua-dua beranak berkenaan supaya berhenti `berdrama’ berhubung isu terbabit.
Menurut beliau, arahan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) supaya DAP mengadakan semula pemilihan CECnya adalah jelas berdasarkan Akta Pertubuhan 1966 serta selari dengan Perlembagaan parti itu sendir.
Menurut beliau, kontroversi dalam pemilihan CEC DAP itu dilaporkan ahli parti itu sendiri yang tidak berpuas hati dengan kepincangan terhadap proses pemilihan semula CEC pada 29 September 2013.
“Memandangkan ROS sudah membuat keputusan, saya berharap Guan Eng serta bapa beliau Kit Siang tidak lagi “berdrama” dengan memberikan seribu satu alasan untuk tidak melakukan pemilihan semula CEC.
“Jika Guan Eng anak jantan sudah semestinya beliau akan berani bertanding dan mempertahankan jawatan Setiausaha Agung parti yang disandang ketika ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas arahan ROS kepada DAP supaya mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) kerana pemilihan kali kedua pada 29 September 2013 dianggap tidak sah disebabkan berlaku beberapa kepincangan.
Ekoran itu juga, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini menegaskan, DAP tidak boleh meletakkan calonnya untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang jika tidak mematuhi arahan ROS berkenaan.
Dalam pada itu, menurut Cheng Guan, arahan ROS tersebut juga secara tidak langsung membuktikan wujudnya kepincangan dalam sistem serta proses pemilihan CEC.
Ujar beliau, hakikat itu sesuatu yang memalukan kepada DAP memandangkan pemimpin parti berkenaan sebelum ini berterusan menyerang sistem pilihan raya negara kononnya tidak bersih dan telus.
“Saya berharap rakyat khususnya penyokong DAP membuka mata dan lihat sendiri sikap hipokrit dan pemimpin DAP.
“Adakah pemimpin sebegini yang kita mahu mentadbir kerajaan dan negara pada masa akan datang?” katanya. – MalaysiaGazette