JOHOR BAHRU – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah, Johor akan menjadi negeri pertama menawarkan gaji premium bermula RM4,000 dan RM5,000 kepada pekerja berkemahiran tinggi.
Menurut baginda, tawaran itu dilakukan menerusi penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) yang dilancarkan pada 3 November lalu.
Pada masa sama titah baginda, kerajaan negeri menerusi Johor Plantations Group Berhad (JPG) berjaya memeterai kerjasama dengan syarikat Jepun, Fuji Oil Asia Pte Ltd.
Tunku Mahkota Ismail bertitah, kerjasama itu untuk membina kilang penapisan minyak sawit serta lemak khusus di negeri ini.
“Kerjasama ini membabitkan nilai pembangunan awal berjumlah RM500 juta.
“Kerajaan Negeri Johor turut bertemu dengan 83 syarikat terkemuka di Korea Selatan untuk mempromosikan inisiatif penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan bakal membawa pelaburan strategik bernilai kira-kira AS$190 juta ke negeri ini.
“Projek-projek baharu ini dijangka akan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan untuk Bangsa Johor dalam beberapa tahun yang akan datang,” titah baginda dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, baginda memberitahu, dalam masa terdekat Istana Besar Johor dan Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan di sini akan dinaik taraf sebelum dibuka kepada umum.
Jelas baginda, ini sebagai usaha menambah nilai pelancongan di Johor Bahru.
“Kedua-dua Bangunan Sultan Ibrahim dan Istana Besar Johor mempunyai pelbagai sejarah Johor sejak abad ke-19,” titah baginda .- MalaysiaGazette