Md Salim Sarmo

KUALA LUMPUR – Bapa kepada seorang penumpang pesawat MH17 bersyukur akhirnya kes yang melibatkan pesawat malang itu diteruskan hingga ke peringkat pengadilan.

“Tiada ada apa yang pakcik harapkan cuma berilah pengadilan sewajarnya kepada mangsa-mangsa MH17,” kata Md. Salim Sarmo, 69.

Ketika dihubungi oleh MalaysiaGazette, Md Salim kata, meskipun kejadian itu sudah tiga tahun lalu, beliau dan keluarganya sentiasa mengikuti perkembangannya.

Katanya, beliau juga tidak sabar untuk mengikuti episod perbicaraan melibatkan pesawat MH17 yang turut meragut nyawa anak lelaki beliau, Mohd Ali Md Salim.

Mohd Ali adalah pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) yang mengikuti pengajian ijazah kedoktoran dalam bidang Development Neuropsychopathology di Universiti Erasmus, Rotterdam, Belanda.

Ketika insiden berlaku Mohd Ali dalam penerbangan balik ke Kuala Lumpur untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Baru-baru ini, Belanda memaklumkan pihak-pihak yang terlibat menjatuhkan pesawat Malaysian Airlines itu akan didakwa di mahkamah negara tersebut.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, waris mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di ruang udara Ukraine pada 2014 akan diberi taklimat.

Berkenaan proses pendakwaan yang akan dilakukan di Belanda pada 13 Julai di Putrajaya bersempena majlis peringatan ulang tahun ketiga insiden itu. – MalaysiaGazette