Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bercakap pada sidang media selepas selesai Mesyuarat PAS Pusat di Ibu Pejabat PAS, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 18 MEI 2017.

KOTA BHARU – Pas menyifatkan Pakatan Harapan (PH) yang didalangi DAP masih dalam keadaan keliru sehingga menyebabkan Tun Dr. Mahathir membuat pusingan U menyokong bekas seterunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Malah parti itu juga mendakwa kelemut yang melanda gabungan DAP, PKR, PPBM dan PAN terutama dalam isu pemilihan calon Perdana Menteri tidak akan dapat diselesaikan.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Dr. Mahathir dilihat dalam keadaan terdesak sehingga sanggup untuk mengambil semula Anwar yang pernah ditendangnya sendiri pada tahun 1998.

“Anwar sejak daripada awal ditendang keluar dan akhir-akhir ini apabila dia (Mahathir) tidak mendapat seorang tokoh, maka dia cuba maafkan, minta dibebaskan dan naikkan semula Anwar.

“Bagi saya itu kemelut yang berlaku dalam Pakatan Harapan yang mereka tidak boleh selesaikan,” katanya dalam sidang akhbar sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Rantau Asia Kali ke-4 di sini hari ini.

Sebuah akhbar Britain, The Guardian baru-baru ini melaporkan dalam wawancara bersama Pengerusi PPBM itu menyatakan sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri sekiranya beliau mendapat pengampunan diraja.

Dalam yang sama, Tuan Ibrahim berkata, Pas masih menggangap Anwar yang disabitkan dengan masalah moral sebagai mangsa konspirasi kerajaan semasa di bawah pimpinan Dr. Mahathir dahulu.

“Saya fikir kalau kes melibatkan hukum syarak mesti dibawa ke Mahkamah Syariah dan ini yang kita harap.

“Tanpa pembuktian Syarie, kita masih anggap dia (Anwar) menjadi mangsa konspirasi dan itu pendirian kita daripada dahulu,” katanya.- MalaysiaGazette