KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini memperkenalkan aplikasi THiJARI kepada pengguna telefon pintar, bakal haji dan ahli keluarganya untuk mendapatkan pelbagai maklumat mengenai perkembangan terkini agensi itu.
Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, TH memilih penyaluran maklumat melalui telefon pintar kerana penggunanya yang mencecah 17.8 juta orang dengan majoritinya golongan Gen-Y.
“Dengan ini kita ambil kesempatan mengorak langkah menambahbaik aplikasi THiJARI dalam usaha mempelbagaikan perkhidmatan interaktif atas talian tanpa sempadan, pada bila-bila masa dan di mana-mana saja.
“Selain itu, kandungan aplikasi ini mempunyai pelbagai kemudahan termasuk ciri-ciri baru mengenai haji, di mana kemudahan baharu yang kita bangunkan bagi manfaat kepada jemaah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Hari Raya Aidilfitri TH dan pelancaran THiJARI di Bangunan Tabung Haji di sini, hari ini.
Turut hafir, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Johan Abdullah.
Ditanya mengenai kelebihan aplikasi THiJARI, Abdul Azeez berkata, ia membolehkan pendeposit menyemak status pendaftaran dan tawaran haji.
Di samping itu, kata beliau, pengguna juga dapat mengemaskini urusan akaun pendeposit, pendaftaran dan semakan keahlian Kelab Taha, informasi TH, direktori, berita terkini, promosi dan e-Majalah.
“Melalui THiJARI ini juga kita turut menawarkan perkhidmatan baharu iaitu MyQ TH, dengan pelanggan dan pendeposit boleh mendapatkan nombor giliran secara atas talian.
“Mereka boleh memilih cawangan TH berdekatan bagi membuat urusan di kaunter tanpa perlu membazir masa menunggu tempoh yang lama,” katanya.
Kata beliau, THiJARI boleh dimuat turun melalui Google Play dan App Store secara percuma. – MalaysiaGazette