JOHOR BAHRU – Tiga pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor ditahan hari ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada seorang pengusaha dan pengedar gas masak tanpa lesen.
Kesemua suspek yang berusia antara 30 hingga 50 tahun ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam dua serbuan berasingan di pejabat KPDNKK Johor Bahru dan KPDNKK Kota Tinggi antara pukul 8 hingga 10 pagi.
Sementara itu, pengusaha tanpa lesen terbabit pula ditahan di rumahnya di Kulai kira-kira pada pukul 8.20 pagi ini.
Siasatan awal mendapati, mengesyaki wang yang diberikan pengusaha gas tanpa lesen itu dimasukkan ke dalam akaun syarikat milik saudara salah seorang pegawai KPDNKK sebelum diagihkan ke pihak yang berkenaan.
Wang rasuah berkenaan dibayar kepada Pegawai KPDNKK sebagai ‘Wang Perlindungan’ supaya tindakan tidak diambil ke atas pengusaha haram terbabit yang telah melakukan kesalahan di bawah Akta Bekalan 1961.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan mana-mana yang lebih tinggi jika disabit kesalahan.
Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata suspek dijangka direman esok di Mahkamah Majistret Johor Bahru untuk membantu siasatan. – MalaysiaGazette