Presiden Pertubuhan Inspirasi Melayu Gombak (IMPAK), Datuk Zul Azhari Mohamed Juah bercakap pada sidang media mengenai permohonan penjelasan status hutang oleh sebuah syarikat kepada Yayasan Selangor di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 11 JULAI 2017

PETALING JAYA – Pertubuhan Inspirasi Gombak (IMPAK) hari ini mempersoalkan peranan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin yang didakwa menjadi jururunding kepada sebuah syarikat swasta yang masih berhutang dengan Yayasan Selangor.

Presidennya, Datul Zul Azhari Mohamed Juah berkata, pihaknya menyokong usaha Yayasan Selangor menuntut kembali hutang berjumlah RM233,000 namun proses itu didakwa mengelirukan dan menjurus kepada salah guna kuasa.

“Kami amat berharap pihak Yayasan Selangor dapat mengambil tindakan ke atas perkara itu dan memohon penjelasan berkenaan sebuah dokumen menyatakan nama Zuraida dan CC Lee mewakili syarikat berkenaan.

“Mengapa Zuraida ketika itu adalah salah seorang kepimpinan PKR Selangor bertindak menjadi jururunding kepada syarikat swasta itu?

“Namun apa yang dinyatakan dalam dokumen terbabit amat mengecewakan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat terbuka kepada Yayasan Selangor di bangunan Yayasan Selangor di sini hari ini.

Beliau mengulas kewujudan sebuah dokumen yang dihantar ke pejabat NGO berkenaan bertarikh 17 September 2013 yang ditandatangani oleh bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dokumen setebal tiga helain itu bertajuk Memohon Ulasan Untuk Menuntut Tunggakan Bayaran Sewaan Penyewaan didakwa dikeluarkan oleh Bahagian Pengurusan Harta Yayasan Selangor.

Bagaimanapun beberapa butiran penting seperti nama syarikat swasta berkenaan telah ditutup NGO berkenaan dengan alasan pihaknya masih menjalankan siasatan.

Menariknya, dalam surat berkenaan di perenggan terakhir dalam bahagian cadangan menyatakan nama Zuraida dan bekas ADUN Kajang telah melakukan perbincangan dengan Abdul Khalid pada 22 Ogos 2013 berhubung penyelesaian tunggakan itu.

Mengulas lanjut, Zul Azhari juga mendakwa, dokumen berkenaan merupakan satu laporan kronologi kes daripada Yayasan Selangor kepada pejabat Menteri Besar Selangor pada September 2013.

“Tan Sri Abdul Khalid sendiri telah mengeluarkan arahan untuk dijalankan tindakan undang-undang setelah empat tahun berlaku,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast