Home Ekonomi Senaraikan nama bekas kakitangan MAS yang dapat kerja – NUFAM

Senaraikan nama bekas kakitangan MAS yang dapat kerja – NUFAM

KUALA LUMPUR – Malaysian Aviation Group (MAG) diminta menyenaraikan nama-mana bekas kakitangan Malaysia Airlines System Berhad (MAS) yang sudah mendapat pekerjaan semula selepas kira-kira 6,000 orang diberhentikan pada tahun 2015.

Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) dan Biro Aduan Kakitangan Pengangkutan Udara (BATW) mahu angka itu didedahkan kerana khuatir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah diberi maklumat yang salah mengenai jumlah sebenar bekas kakitangan MAS yang belum mendapat pekerjaan.

Ini kerana, hasil semakan oleh NUFAM pada akhir tahun 2016 dan awal suku tahun 2017, terdapat lebih 50 peratus bekas kakitangan MAS belum mendapat pekerjaan tetap.

Malah, NUFAM dan BATW dimaklumkan kebanyakan bekas kakitangan MAS bekerja sebagai pemandu Uber dan Grab Car sementara mencari pekerjaan yang lebih baik bagi menyara keluarga.

“Adakah Perdana Menteri telah diberi maklumat yang salah oleh MAG dan Khazanah Nasional Berhad?

“Mungkin MAG perlu menjelaskan kepada Perdana Menteri, sama ada 98 peratus kakitangan yang didakwa sudah berkerja itu, merupakan pekerja kontrak atau sepenuh masa.

“NUFAM dan BATW khuatir ada pihak yang tidak memberitahu kebenaran tentang ada kakitangan syarikat penerbangan yang masih menganggur selepas diberhentikan.,” katanya dalam kenyataan di sini.

Semalam, Najib berkata, sebanyak 78 peratus daripada 6,000 bekas kakitangan MAS yang diberhentikan telah mendaftar untuk peluang pekerjaan baharu.

Daripada jumlah itu sebanyak 98 peratus telah mendapat pekerjaan dan ditawarkan peluang lain.

NUFAM dan BATW berkata, kebanyakan pekerja yang telah diberhentikan dari MAS telah memfailkan kes ke Mahkamah Perusahaan yang sedang menunggu rujukan Menteri Sumber Manusia.

“Sudah dua tahun sekarang dan mereka masih belum tahu keputusan menteri. Sudahlah kes-kes ini belum didengar, ada pekerja masih belum mendapat pekerjaan tetap.

“Kenyataan yang MAG maklumkan kepada Perdana Menteri semalam bertentangan dengan apa yang sebenarnya berlaku.

“Lantaran itu, kami menggesa MAG membuktikan rekod 98 peratus bekas kakitangan MAS sudah berkerja untuk memastikan dakwaan itu betul.

“Kami menerima aduan setiap hari daripada mereka yang masih belum mendapat kerja tetap. Bagaimanakah angka dikeluarkan ketika wujud sesetengah syarikat penerbangan juga menolak bekas pekerja MAS?” ujar NUFAM dan BATW. – MalaysiaGazette