KUALA LUMPUR – Cadangan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mengkategorikan rakyat kepada B20, M50 dan T30 seharusnya berasaskan kajian dan kesesuaian.
Presiden Parti Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai berkata, jika ia tidak dilakukan dengan baik, ia hanya akan menambah kekeliruan dalam kalangan rakyat.
“Saya tidak boleh bersetuju dengan (Menteri Ekonomi Datuk Seri) Rafizi Ramli yang mengatakan bahawa kesesuaian kategori pendapatan seperti B20, B40, T15, T20, atau T30 bergantung kepada matlamat dan hala tuju dasar setiap jabatan serta agensi pada masa hadapan.
“Tanpa definisi pendapatan yang seragam, pelbagai masalah pasti timbul. “What next? T35? M55?,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, kerajaan yang sebelum ini mendefinisikan T15 sebagai “‘golongan mahakaya’ namun masih gagal memberikan takrifan yang jelas.
Tambah Dominic, jika Rafizi gagal menetapkan definisi kumpulan pendapatan melalui pangkalan data utama (PADU), tugas berkenaan sepatutnya diberikan kepada KRI.
Beliau mendakwa kelemahan terbesar kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah sering mengubah dasar tanpa ketetapan yang jelas.
Semalam, Rafizi di Dewan Rakyat berkata kajian KRI yang diterbitkan pada 30 Disember 2024 menyatakan pengelasan kumpulan pendapatan sedia ada mengikut B40, M40 dan T20 adalah tidak tepat.
Sehubungan itu katanya, KRI mencadangkan agar pengelasan baharu dijalankan bagi memastikan demografi isi rumah negara lebih tepat dengan kategori B20, M50 dan T30.-MalaysiaGazette
















