KUALA LUMPUR – Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT)  mengekalkan kedudukan teratas Liga Super selepas mengatasi pencabar terdekat, Pahang 2-0 pada aksi di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.

Kemenangan ke-11 daripada 15 perlawanan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan terus mengungguli carta Liga Super dengan kutipan 36 mata, berkelebihan sembilan mata ke atas Kedah yang menang di tempat  lawan.

Pada aksi di Kuantan, JDT membuka tirai jaringan seawal minit pertama perlawanan menerusi Gonzalo  Cabrera sebelum Ignacio Insa Bohigues mengesahkan kemenangan hasil jaringan kedua pada minit ke-85.

Pahang sebelum itu berpeluang mengurangkan defisit gol namun jaringan Matheus Alves Leandro pada minit ke-61 tidak dikira pengadil kerana pemain berkenaan berada pada kedudukan ofsaid.

Terdahulu, bacaan Al-Fatihah dan sesi bertafakur selama seminit diadakan bagi menghormati pemergian bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) Fuzzeimi Ibrahim, 60 yang meninggal dunia, Sabtu lalu dipercayai akibat serangan penyakit jantung.

Dalam pada itu, Kedah meneruskan rentak kemenangan selepas menang selesa 4-2 ke atas Melaka United pada aksi di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Empat gol skuad Lang Merah dijaringkan oleh Baddrol Bakhtiar pada minit ke-14 dan minit ke-41, Muhammad Akram Mahinan (minit ke-55) dan Mohd Asri Mardzuki pada masa kecederaan babak kedua perlawanan manakala dua gol Melaka United disumbangkan oleh Marko Simic pada minit ke-10 dan minit ke-30.

Selangor pula naik satu anak tangga ke kedudukan keempat liga setelah menang tipis 1-0 ke atas  Perak di Stadium Perak, Ipoh hasil jaringan Francis Forkey Doe pada minit ke-62.

Terdahulu, Selangor terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Andik Vermansah dilayangkan kad merah pada minit ke-56 oleh pengadil, Mohd Nafeez Abd Wahab kerana melakukan terjahan daripada belakang terhadap penyerang Perak, Muhd Zaquan Adha Abdul Radzak.Selangor dan Felda United berkongsi 23 mata namun Selangor berada di tangga keempat liga  menerusi  kelebihan jaringan.

Di Stadium Negeri Petra Jaya, Kuching, pasukan Felda United meraih kemenangan selesa 3-1 ke atas Sarawak  dengan pemain import dari Brazil, Thiago Augusto Fernandes meledak jaringan hatrik pada minit ke-10, minit ke-36 dan minit ke-54 sementara Sarawak mendapat gol tunggal menerusi Mohamad Alif Hassan pada minit ke-70.

Turut meraih kemenangan adalah pasukan T-Team yang menewaskan Kelantan 3-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.Mohd Khairul Izuan Rosli bagaimanapun meletakkan Kelantan di hadapan pada minit ke-63 sebelum T-Team bangkit meraih tiga jaringan menerusi Dilshod Sharofetdinov pada minit ke-79, Muhammad Fauzi Abdul Kadar (minit ke-84) dan Joseph Yannick Ndjeng, selang dua minit kemudian.

Pasukan tercorot liga, Pulau Pinang pula terus dirundung malang setelah kalah 0-2 kepada PKNS FC di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang. Gol-gol  PKNS FC dijaringkan oleh Patrick Ronaldinho Wleh minit ke-52 dan Abdou Jammeh minit ke-79. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast