KUALA LUMPUR – Empat stesen Mass Rapid Transit (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) yang akan dibuka sepenuhnya mulai 17 Julai ini dipilih memulakan Program Hak Penamaan Stesen MRT Corporation Sdn Bhd (MRT Corp).

MRT Corp dalam kenyataan hari ini berkata, hak penamaan stesen yang akan membenarkan nama, logo atau penjenamaan produk pemegang lesen untuk dikaitkan dengan sesebuah stesen, telah dianugerahkan kepada empat syarikat baru-baru ini.

Empat stesen yang terlibat ialah Stesen Pusat Bandar Damansara yang diberi nama ‘Pavillion Damansara Height-Pusat Bandar Damansara’, Stesen Semantan iaitu ‘Manulife-Semantan’, Stesen Bukit Bintang iaitu ‘Pavillion Kuala Lumpur-Bukit Bintang’ dan Stesen Maluri diberi nama ‘Aeon-Maluri’.

Menurut kenyataan, syarikat yang menjadi pemegang lesen hak penamaan stesen adalah Jendela Mayang sebagai pemaju Pavillion Damansara Height, Manulife Insurance Bhd, Kuala Lumpur Pavilion Sdn Bhd dan Aeon Co. (M) Sdn Bhd.

Menerusi program tersebut, setiap pemegang lesen diberi hak untuk nama, logo atau jenama produknya bagi dikaitkan dengan sesebuah stesen tertentu di sepanjang Laluan SBK, yang mana namanya akan diletak bersama nama stesen.

Pengarah Komersial dan Pengurusan Tanah MRT Corp, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, nama atau jenama syarikat yang terlibat mempunyai potensi untuk semakin dikenali apabila dikait rapat dengan stesen MRT.

“Mereka berpeluang mengaut keuntungan daripada program itu melihat kepada jangkaan penumpang yang tinggi serta kebolehlihatan stesen MRT yang baik,” katanya dalam kenyataan itu.

Katanya pemegang lesen yang berjaya diberi tempoh pelesenan dari tiga ke 10 tahun bagi setiap stesen.

“Pemegang lesen yang berjaya telah dipilih berdasarkan bidaan tertinggi dengan yuran lesen yang dikenakan untuk stesen bermula pada RM1.5 juta untuk minimum tiga tahun, atau RM1.2 juta setiap tahun untuk tempoh minimum selama lima tahun,” katanya.

Katanya, pendapatan yang dijana daripada Program Hak Penamaan Stesen, dikategorikan sebagai hasil bukan tambang, adalah milik MRT Corp.

“Keempat-empat stesen ini adalah kelompok pertama yang diberikan hak penamaan stesen dan MRT Corp akan membuka tender yang selanjutnya untuk stesen-stesen lain pada masa hadapan,” katanya.

Fasa kedua Laluan SBK dari Stesen Semantan ke Stesen Kajang akan mula beroperasi mulai 17 Julai ini.

Fasa Pertama dari Sungai Buloh ke Semantan telah dibuka kepada orang awam pada 16 Disember lepas.

Laluan SBK dianggarkan akan memberi perkhidmatan kepada 400,000 pengguna sehari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast