Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali
Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali menyindir bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin yang mendakwa tindakan kerajaan Pas Kelantan yang meluluskan hukuman sebat sebagai kuno.

Bekas Ketua Penerangan Majlis Syura Ulama Pas itu berkata, sebatan terhadap pesalah di khalayak awam merupakan sebahagian bentuk hukuman yang wujud di dalam al-Quran.

“Sebat di khalayak awam sebahagian bentuk hukuman yang wujud dalam al-Quran, ia bukan hukuman kuno sepertimana kata Zainuddin, cuma otak Zainuddin yang masih kuno,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Awal hari ini, Zainuddin atau lebih mesra dengan penggilan Zam memuat naik satu blog “RUU355 pincang hanya Melayu kena sebat” yang berbaur sindiran terhadap Pas.

Mengulas mengenai itu, Mohd. Khairuddin berkata, respon berkenaan sudah boleh dijangka daripada individu yang bersifat negatif seperti Zam.

“Respons sedemikian sudah dijangka daripada orang seumpama Zainuddin yang sentiasa negatif terhadap sebarang usaha memperkasakan undang-undang Islam dalam ruang lingkup yang dibenarkan Perlembagaan,” katanya.

Zam dalam pada itu berkata, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz kini menerima satu lagi “produk baru pelancongan” di mana pelancong asing dan negara maju boleh “menyaksikan hukuman ikut cara kuno dan barbarik di sebuah negara demokrasi dan moden Malaysia”.

Menurutnya, pelaksanaan hukuman itu di Arab Saudi dan Brunei tidak menimbulkan tanda tanya disebabkan kedua-dua negara itu diperintah oleh raja mutlak, sebaliknya, langkah serupa di Malaysia yang merupakan negara mengamalkan demokrasi adalah sesuatu yang baharu.

Semalam, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang antara lainnya membolehkan hukuman sebat dijalankan di khalayak ramai.

Ia juga membenarkan pegawai penguatkuasa agama menggunakan gari ke atas suspek selain penggunaan video sebagai bahan bukti dalam perbicaraan. -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast