Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri (tiga kiri) bergambar kenangan bersama peserta-peserta Kembara Memburu Hikmah, Ahmad Mohd Isa (dua kiri) dan Noradilah Mohd Sapie (kiri) sambil diiringi Yang Dipertua YADIM, Yusri Mohamad (tengah) pada Majlis Penutupan Misi Kembara Memburu Hikmah di Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri, Ahmad Mohd. Isa dan Noradilah Mohd. Sapie berhasrat berbasikal ke seluruh negara Eropah selepas berjaya dalam misi mereka ke Mekah baru-baru ini.

Seperti misi ke tanah suci bertemakan Kembara Memburu Hikmah, mereka mahu membawa mesej keamanan dan persaudaraan antarabangsa ke negara -negara Eropah.

Pasangan yang baharu sahaja menamatkan jelajah berbasikal ke Mekah pada 12 Jun baru-baru ini selepas memulakan perjalanan mereka dari Kuala Lumpur dan kemudian merentas 14 buah negara sebelum tiba di Mekah.

Perjalanan yang memakan masa selama 14 bulan tersebut menyaksikan pasangan Ahmad dan Nuradila menempuh pelbagai cabaran dan dugaan sepanjang perjalanan merentas negara yang mempunyai pelbagai budaya dan cara kehidupan berbeza.

“Insya Allah, kami berdua merancang untuk menjelajah ke Eropah pula selepas ini bermula di Mekah bagi membawa mesej sama sepanjang perjalanan 14 bulan sebelum ini,” kata Ahmad semasa ditemui dalam sidang media di Masjid Negara hari ini.

Peserta Kembara Memburu Hikmah, Ahmad Mohd Isa bercakap semasa sidang media pada Majlis Penutupan Misi Kembara Memburu Hikmah di Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 JULAI 2017

Ahmad memberitahu, mereka berdua menyasarkan masa terbaik untuk meneruskan jelajah siri kedua tersebut pada tahun depan semasa musim mengerjakan haji dan kini mereka sedang merancang perjalanan dengan tiga orang lagi krew penggambaran yang turut sama dalam jelajah sebelum ini ke Mekah.

“Kami rancang pada tahun depan, mungkin semasa musim haji nanti perjalanan bermula,” katanya lagi.

Sepanjang perjalanan ke Mekah, mereka ditemani tiga orang lagi, iaitu pengarah program dan dokumentari, Amirul Ariff A. Wahab, penolong pengarah, Mohd Nur Aiman dan pengurus produksi Mohd. Shafiq Razali.

Ketiga-tiga individu itu bertanggungjawab merakam perjalanan pasangan ini sepanjang menempuh kayuhan ke 14 buah negara dimana satu dokumentari travelog satu jam sebanyak 26 episod sudah dihasilkan dan bakal disiarkan dalam televisyen nanti.

Ahmad juga berkongsi pengalaman dan cabaran yang dihadapi sepanjang kembara tersebut dimana mengalami kemalangan semasa di Pakistan namun cabaran yang paling besar bagi beliau adalah bagaimana mereka berjaya mengekalkan semangat dan sifat setiakawan sesama mereka walaupun ditimpa musibah dan perkara tidak diingini.

“Cabaran terbesar kita hadapi sebenarnya adalah untuk mengekalkan emosi, semangat dan kesetiakawanan kita dari mula sehingga akhir sebab kita ini mempunyai personaliti serta latar belakang yang berbeza, kami tidak kenal satu sama lain,” ujarnya.

Sementara itu bagi isteri Ahmad, Nuradila menyifatkan kembara bersama suaminya mengajarnya betapa penting untuk sentiasa memberi sokongan kepada suami seperti mana yang dilakukan juga oleh isteri Nabi Muhammad SAW semasa berdakwah menyebarkan ajaran agama Islam.

“Bagi saya kayuhan ini sangat bermakna dalam hidup saya sebab saya menemani suami dan dapat melihat keadaan umat diluar sana selain dari Malaysia

“Saya juga nak buktikan bahawa wanita perlu menyokong setiap yang diusahakan oleh suaminya seperti mana dilakukan oleh isteri nabi Muhammad SAW, Siti Khadijah.

Peserta Kembara Memburu Hikmah, Noradilah Mohd Sapie bercakap semasa sidang media pada Majlis Penutupan Misi Kembara Memburu Hikmah di Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 JULAI 2017

“Pada zaman ini saya ingin menunjukkan bahawa ini salah satu bagaimana pengorbanan seorang isteri bersama-sama suami dan menyokong setiap perjuangan yang dilakukan,” kata Nuradila.

Kembara memburu Hikmah ini disokong oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi, Kementerian Belia dan Sukan, Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Kembara tersebut bermula pada 8 April 2016 yang dilancarkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dzulkifli Mohamad Al-Bakri, Yang Dipertua Yadim, Dr Yusri Mohamad dan bekas pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast