Ketua Pemuda Gerakan Kebangsaan, Tan Keng Liang menunjukkan gambar kempimpinan baru Pakatan Harapan. foto AFFAN FAUZI 15 JULAI 2017.

KUALA LUMPUR – Gerakan mahu Pakatan Harapan berterus terang dalam soal siapa pemimpin sebenar yang akan menjadi Perdana Menteri jika pembangkang menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Ini kerana parti komponen Barisan Nasional itu mendakwa rakyat kini keliru dengan barisan kepimpinan baharu yang diumumkan oleh Pakatan Harapan dalam sidang media semalam.

Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang mendakwa rakyat dapat melihat dengan jelas seolah Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad yang akan mengemudi Pakatan Harapan memandangkan bekas negarawan itu lebih mendominasi sidang media tersebut.

“Kami dan juga rakyat keliru siapa sebenarnya pemimpin tertinggi Pakatan Harapan, Adakah Tun M yang memegang mikrofon dan mengendalikan sidang media atau Anwar Ibrahim atau Wan Azizah Wan Ismail yang diumumkan sebagai Presiden.

“JIka kita lihat barisan baharu Pakatan, ada tiga pemimpin tertinggi. Ini ternyata mengelirukan semua khususnya pengundi.

“Pada masa yang sama penampilan Tun M yang mengumumkan struktur kepimpinan baharu Pakatan Harapan dengan logo baharu seolah-seolah memberi gambaran kepada kita bahawa dialah pemimpin Pakatan Harapan yang sedang memasang niat untuk jawatan PM?” katanya pada sidang media di Menara PGRM, Cheras di sini.

Katanya, Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail perlu merujuk akar umbi PKR sama ada mereka menerima mahathir kerana sebelum ini bekas Perdana Menteri itu pernah ditolak menerusi reformasi kerana bertanggungjawab memenjarakan Anwar.

“PKR perlu memberi penjelasan dalam perkara ini dan pendiriannnya kepada rakyat khususnya pengundi,” tambah beliau.

Keng Liang berkata, Pakatan Harapan perlu tampil mengatasi kekeliruan rakyat kerana pengundi berhak untuk mengetahui siapa pemimpin tertinggi yang akan mengemudi kerajaan selepas PRU.

“Ini hak pengundi yang perlu tahu siapa mereka hendak mengundi untuk dipilih sebagai bakal perdana menteri.

“Jika sekarang mereka tak berdaya menentukan siapa bakal pemimpin negara, nanti wujud rebutan sesama mereka selepas membentuk kerajaan dan rakyat tidak akan diambil peduli nanti,” jelas beliau.

Malah katanya, Pakatan Harapan juga tidak ikhlas dalam melantik kepimpinan apabila tidak langsung membariskan pemimpin Pemuda seperti Exco Pendidikan Negeri Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Selain itu beliau meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminda undang-undang untuk mewajibkan mana-mana parti politik mengumumkan bakal pemimpin atau perdana menteri sebelum bertanding dalam PRU sebagai melindungi hak pengundi.

“BN tidak pernah lari daripada konsensus ini apabila setiap PRU kami sudah ada keputusan siapa bakal perdana menteri kami jika membentuk kerajaan selepas setiap PRU selama ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast