KUALA LUMPUR – Puluhan ribu hadir menjadi tetamu Majlis Rumah Terbuka UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Selain menjamu selera dengan pelbagai juadah, tetamu yang hadir juga diraikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Presiden UMNO.
Selain itu, barisan kepimpinan UMNO juga hadir menyambutnya dengan penuh ceria dan harmoni.
Najib tiba kira-kira 11.50 pagi di Dewan Tun Razak 1 PWTC bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan disambut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Pergerakan Wanita, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pergerakan Pemuda, Khairy Jamaluddin, Ketua Pergerakan Puteri, Datuk Mas Ermiyati Samsudin, Ketua Penerangan, Tan Sri Anuar Musa, anggota Majlis Tertingggi, barisan jemaah menteri dan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN).
Suasana majlis kelihatan padat dan sesak apabila masyarakat daripada pelbagai lapisan, latar belakang, agama sanggup beratur mendapatkan juadah sehingga dewan penuh sesak.
Ada antara tetamu yang tidak melepaskan peluang mengambil kesempatan bergambar dengan tetamu kehormat dan artis tempatan bagi merakamkan memori Syawal bersama.
Terdapat juga tetamu yang terdiri pelbagai bangsa dan pelancong asing hadir serta menceriakan rumah terbuka itu yang turut disajikan dengan persembahan kebudayaan.
Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusuf sebelum ini berkata kira-kira 50,000 hingga 70,000 tetamu dijangka memenuhi rumah terbuka tahunan tersebut yang dianjurkan hingga 3 petang itu. – MalaysiaGazette