Najib Razak

ROMPIN – Kerajaan akan melaksanakan semula cadangan pembinaan sebuah landasan kapal terbang baharu di Kampung Genting, Pulau Tioman bagi meletakkan pulau itu setanding pulau-pulau peranginan terkenal yang lain di dunia, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, cadangan yang pernah dibatalkan pada 2009 itu akan dilihat semula dengan lebih teliti dengan beberapa penambaikan baharu untuk mengelakkannya daripada menjejaskan alam sekitar termasuk hidupan laut.

“Cadangan asal kita bina landasan baharu ini di Kampung Genting dengan sebahagiannya berada di darat dan sebahagian lagi di laut. Cadangan itu akan dihidupkan semula bagi membolehkan pesawat Boeing 737 mendarat di Pulau Tioman.

“Kalau ini dapat dilaksnakan, landskap pembangunan di Pulau Tioman akan berubah dengan begitu radikal. Langkah susulan mungkin akan mengambil sedikit masa tetapi keputusan telah dibuat.

“Kita akan melantik perunding sebelum projek ini dilaksanakan,” katanya ketika berucap di Majlis Jamuan Rakyat sempena Hari Raya Aidilfitri di Dataran Tiong, Kampung Tekek, Pulau Tioman di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar, Timbalannya Datuk Halimah Mohamed Sadique dan anggota Dewan Undangan Negeri Tioman Datuk Mohd Johari Hussain.

Pengumuman pembinaan landasan baharu berkenaan merupakan satu lagi hadiah istimewa yang diberikan kerajaan hasil lawatan kerja perdana menteri selama setengah hari di Pulau Tioman hari ini.

Sebelum ini, Najib turut merasmikan laluan pejalan kaki sepanjang 310 meter yang menghubungkan Kampung Tekek dengan Kampung Air Batang yang bernilai RM1.6 juta selain merasmikan 116 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR), Tekek Makmur yang bernilai RM46.7 juta dengan pemberian subsidi 92 peratus.

Najib berkata, mengikut laporan Cable News Network, Pulau Tioman merupakan satu daripada pulau tercantik, manakala Pantai Juara merupakan antara 21 pantai tercantik, di dunia.

“Sebelum ini, kehadiran pelancong belum sampai tahap maksimum dan jika boleh kita mahu menarik lebih ramai lagi kehadiran pelancong kelas atasan yang mempunyai kuasa membeli yang tinggi.

“Kehadiran mereka ini akan beri suntikan besar kepada ekonomi Pulau Tioman dan kita juga akan menyediakan satu pelan induk untuk pulau ini bagi memastikan pembangunan yang akan dijalankan lebih tersusun sekali gus menjamin masa depan pulau ini.

Pada majlis berkenaan, Najib turut mengumumkan pemberian peruntukan RM10 juta untuk penyelenggaraan dan membaik pulih jeti Kampung Tekek, Kampung Paya dan Kampung Lukut, Kampung Juara selain pembinaan jeti baharu Kampung Salang.

“Kerajaan juga telah meluluskan peruntukan RM34 juta untuk projek membaik pulih dan menaik taraf bekalan air di Kampung Tekek dan Kampung Air Batang selain telah meminta menteri besar (Adnan) tolong uruskan dari segi kebersihan pulau supaya ia lebih tersusun dan cantik, ” katanya. – Bernama