Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani hadir mempengerusikan Mesyuarat Focus Group Budget 2018 : Boosting Private Investment di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 20 JULAI 2017

PUTRAJAYA – Kerajaan mengambil kesempatan daripada keghairahan China untuk melabur di luar negara dengan menawarkan peluang-peluang di dalam industri-industri strategik di Malaysia bagi memberi manfaat kepada semua rakyat.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, apa sahaja yang memberi manfaat kepada rakyat sama ada secara langsung atau tidak langsung akan dilaksanakan kerajaan.

“Mana lagi negara yang sedang berada dalam mod melabur pada hari ini? Tiada.

“Hanya China masih ghairah untuk melabur dan mereka banyak menanam modal di luar negara dan apabila mereka datang ke Malaysia mereka menawarkan sesuatu kepada kita dalam industri-industri strategik seperti pengangkutan yang mana kita amat perlukannya.

“Industri-industri ini memerlukan modal yang banyak dan bagi kerajaan apa sahaja yang memberi manfaat kepada kita sama ada secara langsung ataupun tidak seperti membuka peluang pekerjaan, merangsang ekonomi ketika zaman sukar dan membawa masuk modal, ini semua memberi manfaat kepada negara pada masa panjang,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Kumpulan Fokus Bajet 2018: Merangsang Pelaburan Swasta di kementeriannya hari ini.

Johari menjawab laporan yang menyebut saranan Pengerusi CIMB, Datuk Seri Nazir Razak yang meminta kerajaan meneliti pelaburan yang diterajui China di bawah inisiatif One Belt, One Road (Obor).

Menurut Nazir, projek-projek khusunya Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang bernilai RM55 bilion tidak seharusnya dinilai berdasarkan skala pelaburan tetapi mengikut nilai cadangan.

“Saya rasa sangat penting bagi kita menjauhkan diri daripada keseronokan tradisional Malaysia bahawa semua yang besar dan seksi. Itu sangat berbahaya.

“Tidak syak lagi, bahawa ECRL membawa manfaat. Tetapi adakah manfaatnya, katakan (adakah ia) bernilai RM10 bilion atau RM60 bilion?

“Itulah soalan asas. Hanya kerana ia adalah inisiatif OBOR dan ia (kontrak pembinaan dianugerahkan) kepada China, adakah Malaysia mendapatkanya pada harga yang tepat?”kata Nazir seperti yang dilaporkan The Edge Financial Daily.

Adik kepada Perdana Menteri itu membuat kenyataan demikian semasa perbincangan China’s Belt and Road Initiative in Asean: Economic opportunities and Asean centrality, semalam. – MalaysiaGazette