Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur, ACP Luthfi Ismail Abdullah menerangkan sesuatu kepada wartawan pada Sidang Media Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur mengenai tangkapan ahli sindiket Macau Scam di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 20 JULAI 2017.

KUALA LUMPUR – Satu sindiket antarabangsa Macau Scam yang mensasarkan warganegara China sebagai mangsa berjaya ditumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bertindak atas maklumat dan laporan polis, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur menyerbu sebuah rumah di Bandar Baru Seri Petaling pada pukul 6 petang Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Luthfi Ismail Abdullah berkata, hasil serbuan polis berjaya menahan 10 suspek terdiri daripada sembilan warga China termasuk seorang wanita dan seorang lelaki Malaysia.

“Kesemua suspek berusia antara 20 hingga 50 tahun dan dipercayai mensasarkan mangsa di negara asal mereka di China berdasarkan barang kes yang dirampas.

“Setiap suspek ini dibayar upah antara RM3,000 hingga RM5,000 untuk melakukan kegiatan penipuan ini.

“Hasil soal siasat awal sindiket ini dipercayai telah terlibat dalam kegiatan sejak April lalu melibatkan kerugian RM3 juta setakat ini.

“Polis sedang menyiasat dan memburu dalang atau perancang utama yang memainkan peranan di sebalik sindiket Macau ini,” katanya pada sidang media kejayaan itu di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di ibu negara.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan di apartmen itu polis berjaya merampas peralatan komputer seperti seunit Unit Pemprosesan Pusat (CPU), seunit monitor, papan kekunci, tetikus, dua unit modem, sebuah komputer riba, wang tunai RM814, wang asing 695 Yuan, 52 telefon bimbit dan 29 keping kad sim.

Katanya turut dirampas ialah 176 keping kad mesin pengeluaran wang automatik, empat buku catatan tangan dan lima unit gajet pindaan wang.

Malah semakan awal juga katanya, ada dalam kalangan suspek berkenaan telah beberapa kali masuk ke Malaysia menggunakan pas pelajar dan pas lawatan sosial sejak 2013.

Tetapi katanya, enam daripada suspek berkenaan didapati telah tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

“Kesemua suspek kini direman selama tiga hari hingga 22 Julai ini untuk disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan krana penipuan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menasihati orang ramai khususnya di Malaysia supaya berwaspada dengan pergerakan sindiket sebegini.

“Polis mendapati mereka menggunakan modus operandi dengan menyamar sebagai pegawai bank, pegawai polis dan pegawai Bank Negara atau mahkamah.

“Jadi janganlah oleh kerana ketagih mahu cepat kaya, terus hilang kesedaran dan terus terpedaya dengan scam sebegini, fikir seminit ketika berdepan insiden sebegini dan bertindak bijak.

“Kekuatan masyarakat sahaja boleh membantu polis mencegah scam penipuan sebegini. Oleh itu jangan layan panggilan telefon dari individu yang tidak dikenali dan medakwa mereka mempunyai tunggakan pinjaman atau bayaran kad kredit atau akaun mereka terlibat kegiatan jenayah.

“Sila berurusan dengan pihak bank yang berkenaan dan tidak menyelesaikan siasatan menerusi talian yang agak berisiko dan mengancam anda menerusi scam sebegini,” katanya.

Beliau menyarankan orang ramai supaya terus menghubungi hotline polis di talian 03-21159999 atau pusat kawalan polis KL di 03-21460522. sambungan 584/585 atau ke balai polis berhampiran sekiranya mempunyai maklumat aktiviti mencurigakan berhampiran perumahan mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast