Teresa Kok

PUTRAJAYA – DAP akhirnya bersedia mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) seperti arahan
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Bagaimanapun, pemilihan semula itu dilakukan dalam keadaan protes memandangkan parti tidak bersetuju dengan dakwaan ROS.

DAP sedia mengadakan semula semata-mata memandangkan mereka perlu berbuat demikian dalam suasana PRU-14 kini semakin hampir, kata Teresa Kok.

Teresa berkata demikian selepas menghantar surat balasan kepada ROS di sini pagi tadi.

Turut bersamanya ialah Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke.

Teresa merupakan bekas Setiausaha Organisasi DAP dan surat ROS kepada partinya dihantar melalui namanya.

“Kesediaan DAP mengadakan semula pemilihan CEC bagaimanapun tidak menghalang DAP mengambil tindakan undang-undang terhadap ROS pada bila-bila masa,” ujarnya.

Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh menegaskan, DAP menafikan sekeras-kerasnya dakwaan ROS ada perwakilan tidak diberi peluang undi semasa pemilihan sebelum ini.

Beliau juga mempertikaikan kenapa ROS mengambil masa hampir empat tahun untuk memprotes tindakan DAP.

Sementara itu, Anthony pula memberitahu, bagi melaksanakan pemilihan CEC semula pihaknya perlu mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah ROS, Datuk Muhammad Razin.

“Mesyuarat dengan Muhammad Razin penting bagi memastikan segala dokumen termasuk audit luar yang dipilih menepati kehendak ROS,” ujarnya.

Ia jelas menunjukkan DAP tetap akan mempertahankan parti itu tidak bersalah ketika mengadakan pemilihan pada tahun 2013 dan mahu membuktikannya kepada Mohammad Razin sendiri.

Pihaknya juga melampirkan peraturan parti dan senarai perwakilan 2012 yang ada seramai 2,576 orang kepada ROS.

“Kami juga ada lampir senarai perwakilan DAP 2013 dan mahu ROS check sama ada ia sama atau tidak dengan senarai 2012.

“Kami perlu bertemu KP untuk mengesahkan beberapa perkara untuk buat semula pemilihan CEC.

“Jangan pula ROS ambil masa empat tahun untuk berjumpa dengan kami,” sindirnya.- MalaysiaGazette