Anjing liar dan terbiar dan berkeliaran boleh mengakibatkan berlaku penularan penyakit rabies.
IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan meningkatkan operasi menangkap anjing liar di sekitar kawasan bandar raya bagi mengekang penularan penyakit anjing gila atau rabies selepas kes pertama di Perak dikesan di Kuala Sepetang, Taiping.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata pendekatan tersebut juga dilakukan bagi meredakan ketakutan orang ramai berkaitan wabak yang boleh meragut nyawa itu.

“Anjing-anjing liar dan terbiar yang ditangkap akan dilupuskan jika dikesan berpotensi membawa penyakit manakala yang tidak membawa penyakit, kita akan lepaskan di tempat tertentu,” katanya.

Zamri bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Gotong-Royong Sempena Kempen Perak Bersih di Taman Dr Seenivagasam di sini, hari ini, bersama 1,000 individu terdiri daripada warga bandar raya dan kakitangan MBI.

Selain itu, Zamri berkata pihaknya juga sedang giat menjalankan program pengkasian atau pemandulan anjing bagi memastikan pembiakannya berada pada tahap terkawal.

“Dalam masa yang sama, jika pembiakannya berjaya kami kawal, ia sedikit sebanyak akan mengurangkan risiko penyakit yang dibawa oleh anjing-anjing liar ini.

“Kami percaya penyakit rabies ini tidak akan menular ke Ipoh sekiranya langkah-langkah pencegahan dibuat daripada awal dan secara berterusan,” katanya.

Kes positif rabies pertama di Perak dikesan di Kuala Sepetang pada 13 Julai lalu selepas seekor anjing mati setelah sembilan hari menggigit dua kanak-kanak perempuan masing-masing berumur 11 dan 12 tahun.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast