Salleh Said Keruak.

KUALA TERENGGANU – Kempen ‘Jom Bina Semula Negara’ yang dijalankan pembangkang adalah antara usaha mereka untuk memberi imej negatif terhadap kerajaan sedia ada dan menunjukkan seolah-olah negara sedang mempunyai masalah.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata semua pihak perlu lebih berhati-hati dengan tohmahan segelintir pemimpin pembangkang ini yang tujuannya hanya untuk berpolitik dan mengelirukan rakyat semata-mata.

“Semua angka petunjuk sama ada angka ekonomi, angka keamanan, keharmonian kaum dan kestabilan politik, menunjukkan Malaysia berada pada tahap yang amat baik pada ketika ini.

“Sejak mula merdeka lagi, kita sentiasa utamakan kestabilan negara. Tahun ini adalah tahun ke-60 kita merdeka dan kita tidak pernah melupakan tanggungjawab itu.

“Tapi ada pihak pula yang ingin menghancurkan perjuangan parti kita dan tujuannya hanya untuk kepentingan politik masing-masing sahaja,” katanya kepada pemberita di majlis tautan kasih Aidilfitri UMNO Kuala Terengganu di sini Sabtu.

Pada majlis itu, Salleh bersama Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu Datuk Mohd Sabri Alwi menyampaikan sumbangan duit raya RM50 kepada lebih 500 anak yatim di parlimen Kuala Terengganu.

Salleh, yang juga Bendahari UMNO, berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa fokus dengan matlamat untuk kestabilan ekonomi dan pembangunan negara secara mapan.

“Rakyat tidak perlu terpengaruh dengan apa sahaja dakyah pembangkang sebaliknya rakyat perlu menilai apakah sumbangan kerajaan Barisan Nasional yang diterajui UMNO selama ini.

“Kerajaan berterusan bekerja keras untuk memastikan kestabilan negara sebaliknya pembangkang hanya sibuk berpolitik sahaja,” katanya.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast