PULAU PINANG – Lagi kejadian pandu arus sehingga mengakibatkan kemalangan berlaku di negeri ini kali ini membabitkan kereta jenis Volkswagen di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berdekatan Kepala Batas di sini.

Dalam kejadian awal pagi tadi di Lebuhraya Utara Selatan ( PLUS) itu, seorang lelaki berusia 31 tahun  yang memandu dari arah Butterworth ke Sungai Petani, Kedah dikatakan secara tiba-tiba membuat pusingan-U di Kilometer (KM) 116 berhampiran Hentian Sebelah Sungai Muda, Kedah.

Ekoran itu, kereta yang dipandunya melanggar tiga kenderaan lain dan menyebabkan dua kenderaan lain bertembung sesama sendiri.

Kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu turut menyebabkan pemandu Volkswagen berkenaan cedera ringan manakala beberapa pemandu lain cedera termasuk ada mangsa yang patah tangan.

Lebih malang, seorang pengguna lebuh raya, Naim Halidan, 30,  maut apabila terjatuh ke dalam longkang ketika berhenti untuk menyaksikan kejadian berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisoner Azmi Adam ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan polis akan menjalankan ujian alkohol dan penyalahgunaan dadah ke atas pemandu Volkwagen terbabit.

Katanya, kes itu disiasat di bawah seksyen  43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan merbahaya.

Ini merupakan kemalangan ketiga melibatkan kenderaan yang dipandu secara melawan arus berlaku di lebuh raya di sini sejak awal tahun ini.

Pada14 Mac lalu, seorang juruteknik kilang maut apabila kereta Perodua Kelisa yang dipandunya bertembung dengan Proton Gen2 yang dipandu seorang wanita secara melawan arus dari arah Sungai Dua menghala ke Butterworth.

Kejadian sama turut berlaku pada awal Jun lalu membabitkan sebuah kereta sedan berwarna kelabu yang dipandu melawan arus di lorong paling kanan Butterworth-Kulim (BKE) kira-kira pukul 10.30 malam. – MalaysiaGazette