Antara 13 lelaki yang dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru untuk mendapat perintah tahanan reman mengkikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

JOHOR BAHRU – Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan polis menahan reman 13 lelaki selama 21 hari sehingga 12 Ogos depan kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan kongsi gelap.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Noor Aisyah Ahmad ke atas suspek yang berusia antara 25 hingga 32 tahun.

Tempoh tahanan reman itu diperoleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor bagi membolehkan siasatan lanjut ke atas semua suspek dibuat mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. dalam satu kenyataan berkata, suspek ditahan susulan dua kejadian pergaduhan melibatkan kumpulan kongsi gelap di kawasan Taman Mount Austin dan Taman Daya pada 10.15 pagi 8 Julai lalu.

Mereka yang ditahan, tambahnya, terdiri daripada lima ahli Kumpulan Kongsi Gelap 36, empat ahli kumpulan 24, dua orang Kongi Gelap 18 dan masing-masing seorang ahli kumpulan 21 dan 04.

Beliau berkata, jika disabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman Perintah Tahanan sehingga dua tahun atau dikenakan Perintah Pengawasan sehingga lima tahun. – MalaysiaGazette.

end