Home Utama Kenapa Malaysia Airlines pinggirkan saya? – suami Mastura

Kenapa Malaysia Airlines pinggirkan saya? – suami Mastura

KUALA LUMPUR – Suami Allahyarham Mastura Mustafa, seorang pramugari Malaysia Airlines yang terkorban dalam tragedi MH17 kecewa kerana syarikat penerbangan itu meminggirkan beliau daripada segala maklumat dan urusan membabitkan isterinya.

Mastura adalah ketua pramugari dalam penerbangan MH17 ketika kejadian itu.

Mohamed Affendi Khairuddin berkata, selepas setahun nahas itu berlaku, Malaysia Airlines tidak pernah lagi memanggil atau menghubungi beliau untuk berkongsi apa sahaja maklumat dan perkembangan membabitkan kemalangan itu.

Sebaliknya beliau mendakwa Malaysia Airlines hanya berhubung dengan pihak keluarga Mastura sahaja.

“Jangan kata telefon, emel atau apa sahaja tidak lagi saya terima.

“Mengapa Malaysia Airlines buat begini kerana saya masih suami Mastura. Malah, dari segi perundangan Islam saya lebih berhak ke atas isteri saya,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut beliau, ketidakpuasan mengenai perkara itu pernah dimaklumkan kepada Tan Sri Mohd Nor Md Yusof dan beliau berjanji untuk menanganinya.

Bagaimanapun, katanya, sampai sekarang beliau masih dipinggirkan daripada segala maklumat dan majlis melibatkan MH17.

“Saya hanya tahu maklumat mengenai MH17 daripada keluarga-keluarga kru kabin yang lain. Keluarga-keluarga kru yang lain pun hairan kenapa saya tidak tahu apa-apa.

“Sebagai suami Mastura, saya tidak pernah bertanya apa-apa perkembangan tragedi MH17 kerana sepanjang setahun selepas kejadian itu saya hanya mengetahui dari Malaysia Airlines.

“Jadi, apabila Malaysia Airlines berhenti menghubungi, saya tidak tahu apa-apa. Jangan kata ada majlis memperingati, soal bayaran pampasan dan insurans pun saya tidak tahu.

“Tindakan Malaysia Airlines ini sungguh mengecewakan dan saya mohon Malaysia Airlines tidak terus senyap dan saya menuntut Malaysia Airlines beri penjelasan mengapa saya diketepikan?,” soal beliau. – MalaysiaGazette