KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini melahirkan rasa ‘terharu’ setelah dilabelkan sebagai individu paling berkuasa di negara ini.
Dalam satu sidang media di Dewan Rakyat hari ini, Kit Siang nyata terkejut dengan gelaran itu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam.
“Saya terharu Najib gunakan acara Invest Malaysia 2017 umumkan saya merupakan individu berkuasa di dalam negara tetapi kenapa saya tidak tahu mengenai perkara ini.
“Saya tidak tahu saya boleh jadikan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai boneka lakukan apa saya mahukan,” katanya dalam sidang media hari ini.
Najib hari ini berkata struktur kepimpinan pembangkang sebagai melucukan, kerana ia umpama program untuk memberi ruang kepada pesara politik yang lanjut usia kembali bekerja semula.
“Adakah Najib benar-benar mempercayai pembohongan yang beliau ucapkan dalam ucaptama pada Persidangan Invest Malaysia ke-13 hari ini bahawa Mahathir, Anwar dan Muhyiddin telah menjadi boneka.
“Dan saya yang mengawal rentetan boneka yang bersembunyi di belakang Mahathir. Bilakah Mahathir, Anwar dan Muhyiddin menjadi boneka saya?,” soal Ahli Parlimen Gelang Patah itu.
Pada 14 Julai lepas, pakatan pembangkang yang dinamakan Pakatan Harapan mengumumkan struktur baharu kepimpinan mereka dengan menamakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr.Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum.
Namun menurut Najib, DAP pula sengaja tidak menonjolkan diri, walaupun parti itu yang sebenarnya menguasai pembangkang kerana memegang majoriti kerusi Parlimen. -MalaysiaGazette.