Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menandatangani plak perasmian pada Majlis Pecah Tanah Rumah Kebajikan Ti-Ratana bersama Pengasas Rumah Kebajikan Ti-Ratana, Datuk K. Sri Dhammaratana (dua kiri) di Desa Petaling, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 26 JULAI 2017.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menasihatkan masyarakat agar sentiasa menghulurkan tangan untuk membantu golongan kurang bernasib baik.

Datuk Seri Najib Razak berkata, langkah itu berupaya menyemai ‘benih’ perpaduan dalam kalangan rakyat.

“Saya suka lihat Malaysia yang bukan saja makmur, harmoni dan bersatu, tapi juga kegembiraan di wajah rakyat merangkumi pelbagai latar belakang.

“Kita boleh wujudkan detik yang berupaya mengukir berjuta senyuman menerusi sikap saling membantu tanpa mengira warna kulit, agama dan kepercayaan.

“Membantu orang yang memerlukan juga adalah detik perpaduan, selain bakal mendapat ganjaran berlipat kali ganda jika ia dilakukan tanpa mengharap balasan,” katanya semasa berucap pada majlis pecah tanah Rumah Perlindungan Warga Emas Ti-Ratana, di Desa Petaling di sini hari ini.

Menurut Najib, nilai-nilai yang turut dipupuk menerusi sukan juga merupakan pemangkin terbaik dalam menjamin keutuhan silaturahim masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Majlis itu dihadiri Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.

Pembinaan rumah perlindungan lima tingkat itu dianggar bernilai RM12 juta dan terletak di Desa Petaling di sini dijangka dapat menempatkan seramai 180 warga emas.

Hasil sumbangan pelbagai pihak sebelum ini, sebanyak RM4 juta berjaya dikumpulkan bagi menampung kos pembinaan rumah merangkumi luas kawasan 1,533 meter persegi berkenaan sejak kempennya dilancarkan Perdana Menteri pada tahun 2012.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, sebelum ini kerajaan telah menyalurkan RM1 juta untuk menampung kos pembinaan rumah perlindungan warga emas itu.

Kataya, dana dari kerajaan itu akan ditambah pada masa akan datang mengikut keperluan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast