Othman Aziz

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM5.8 bilion wang tak dituntut (WTD) masih berada dalam simpanan Bahagian WTD, Jabatan Akauntan Negara sehingga 30 Jun lalu.

Jumlah itu melibatkan lebih 55 juta rekod akaun simpanan, semasa atau perniagaan sejak tahun 1977.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata, individu terbabit diminta hadir sendiri di kaunter WTD untuk semakan dan menuntut wang mereka.

“Bahagian WTD membuka sebanyak 25 kaunter dibuka di seluruh negara termasuk 13 di Semenanjung Malaysia, Sarawak (tujuh) dan Sabah (empat). Sebuah kaunter dibuka di Putrajaya,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Zaim Abu Hasan (BN-Parit) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan penyelesaian WTD di Dewan Rakyat.

Othman berkata, kerajaan sentiasa memastikan WTD selamat dalam pegangan kerajaan sehinggalah ia dituntut oleh pemiliknya. – MalaysiaGazette