Musa Awang
Musa Awang

KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan anak pasangan beragama Islam yang dilahirkan secara luar nikah berbinkan nama bapanya dikhuatiri mewujudkan satu keturunan Islam yang samar-samar.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, kesamaran itu melibatkan keturunan seseorang umat Islam itu seperti mana yang dikehendaki oleh bukan Islam.

“Akan datang nanti wujud satu keturunan umat Islam yang syubhah, tiada ketentuan dari segi nasab atau keturunannya.

“Itu yang orang bukan Islam hendak, khususnya golongan orientalis yang hendak perkara itu berlaku,” katanya pada sidang media di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Semalam, Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu yang dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Tengku Maimun Tuan Mat ketika membenarkan rayuan seorang kanak-kanak lelaki tidak sah taraf berusia tujuh tahun dan kedua ibu bapanya.

Beliau bersama Datuk Abdul Rahman Sebli dan Puan Sri Zaleha Yusof sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak semakan kehakiman difailkan oleh ketiga-tiganya.

Mahkamah berpendirian, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selaku responden kedua telah bertindak di luar bidang kuasa ketika mendaftarkan ‘Abdullah’ sebagai nama bapa kepada kanak-kanak itu dalam sijil kelahirannya.

Mengulas lanjut, Musa berkata, mengikut hukum syarak, anak tidak sah taraf tidak boleh dibin atau dibintikan kepada bapa kandungnya dan perlu diletakkan dengan salah satu daripada 99 nama Allah.

Beliau berkata, malangnya orang Melayu di negara ini paling banyak menggunakan nama Abdullah bagi anak tidak sah taraf dan tidak berani meletakkan nama Allah yang lain.

“Tak semestinya Abdullah, dia boleh guna Abdul Rahman, Abdul Razak dan sebagainya, itu yang jadi stigma kepada masyarakat, malah kalau nama bapanya Abdullah pun orang akan tanya,” jelasnya.

Katanya lagi, masalah daripada segi pewalian perkahwinan dan wasiat harta pusaka akan timbul sekiranya anak tidak sah taraf ini dibin atau dibintikan kepada bapa kandungnya.

“Masa anak itu nak nikah, bapa kandung itu mewalikan nikah itu, jadi perkahwinan itu berkemungkinan besar boleh jadi tidak sah. Kemudian timbul masalah lain, cucu yang lahir itu juga akan timbul masalah kemudian hari.

“Orang tidak tahu berkemungkinan akan serahkan harta peninggalan arwah bapa kandungnya kepada dia dan satu dosa kepada dia kerana ambil hak waris-waris lebih berhak, malah akan berlaku suasana kucar-kacir dan pergaduhan,” katanya.

Tambahnya, sekiranya bapa kandung tetap mahu membinkan nama anak tidak sah taraf kepada namanya, mereka perlu memastikan urusan perkahwinan dan harta pusaka diambil berat.

“Ada cara lain kalau dalam kalangan keluarga itu tahu status anak tidak sah taraf ini atau bila nak kahwin atau mati, ia dibawa ke mahkamah untuk dibuat pengesahan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.