KUALA LUMPUR – Seramai 683 guru telah dilatih untuk membantu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memaklumkan kepada kanak-kanak mengenai beberapa perkara yang harus berhati-hati dan dihindari demi keselamatan diri.
Menurut Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, guru itu dilatih di bawah Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan (PEKERTI) sejak tahun 2012 sehingga kini.
Katanya, dalam tempoh lima tahun itu guru berkenaan telah memberi motivasi dan kesedaran kepada seramai 10,025 pelajar melibatkan 141 sekolah di seluruh negara.
“Menerusi modul PEKERTI ini, kanak-kanak akan faham apa itu keadaan yang berisiko dan benar-benar tahu cara untuk mereka mendapatkan perlindungan.
“Makluman ini akan diberitahu oleh guru berkenaan sama ada di sekolah, di luar sekolah atau di mana-mana sahaja yang kita dapati berisiko kepada kanak-kanak.
“Kita juga telah mengadakan banyak program ini di seluruh negara, dengan memaklumkan kepada kanak-kanak (pelajar) apa itu bad touch, good touch (sentuhan yang buruk, sentuhan yang baik) iaitu sesuatu yang seharusnya mereka tahu,” katanya di Parlimen semalam.
Menurut Rohani, makluman itu bukan sahaja dari segi biologi, tetapi merangkumi kaedah bagaimana mereka dapat menghindarkan sesuatu yang tidak baik berlaku, selain pengaruh internet yang mereka harus berhati-hati.
Ujar beliau, menerusi PEKERTI juga kementeriannya memperkenalkan program Pusat Remaja Kafe@TEEN yang berfungsi memaklumkan kepada kanak-kanak berkenaan mengenai gejala yang boleh mengakibatkan kejadian jenayah seksual.
“Kadang-kadang kita kena berterus-terang dengan remaja atau kanak-kanak ini mengenai beberapa kejadian kes rogol, sumbang mahram, luar tabii dan sebagainya.
“Kita terpaksa berterus-terang sebab ada antara mereka sebenarnya sudah tahu. Jadi, kita terpaksa memaklumkan kepada ibu bapa mereka supaya turut memainkan peranan ini dan jangan biarkan orang lain saja menjaga anak kita,” katanya.
Kata beliau, banyak program dianjurkan kementerian itu bagi menyelamatkan kanak-kanak daripada jenayah seksual dan sebagainya termasuk menyediakan khidmat kaunseling. – MalaysiaGazette