Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA – Kerajaan melanjutkan Program Repatriasi Migran 2.0 bermula 19 Mei ini sehingga 30 April tahun depan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Program pengampunan pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) itu yang sepatutnya berakhir pada 31 Mac lalu dilanjutkan khusus untuk Semenanjung dan Labuan.

“Melalui program ini, PATI dikecualikan tindakan pendakwaan dan ditawarkan kompaun mengikut kesalahan seperti, kompaun RM500 bagi kesalahan memasuki dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah.

“Kedua ialah kompaun RM500 bagi kesalahan tinggal lebih masa selepas tamat tempoh pas dikeluarkan dan akhir sekali ialah kompaun RM300 bagi kesalahan melanggar syarat pas,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, pemohon program itu turut dikenakan bayaran pas khas sebanyak RM20, manakala bagi kanak-kanak warga asing berusia di bawah 18 tahun, dikecualikan daripada kompaun namun perlu membayar pas khas terbabit.

Katanya, Program Repatriasi Migran 2.0 tidak terbuka kepada PATI yang sudah mendaftar program sama sebelum ini, tetapi gagal membuat perjalanan keluar, mereka yang disenarai hitam dan mempunyai waran tangkap atau dikehendaki oleh pihak berkuasa.

“Bagi individu dengan status perundangan khas seperti berkahwin dengan pasangan warganegara yang tinggal lebih masa, perlu hadir ke Bahagian Visa, Pas dan Permit JIM utnuk tujuan penyelarasan,” tambahnya.

Justeru, beliau berkata, kementerian menyeru semua pihak termasuk perwakilan asing, majikan dan komuniti warga asing untuk menyebarluaskan maklumat program berkenaan serta menggalakkan penyertaan awal bagi mengelak kesesakan menjelang tarikh akhir.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, 2025 diisytiharkan sebagai tahun penguatkuasaan yang mana Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah mengarahkan JIM untuk mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara besar-besaran di lokasi tumpuan.

Ujarnya, operasi itu akan dilaksanakan secara bersepadu bersama agensi pihak berkuasa lain.

“Semua majikan yang masih menggaji atau melindungi PATI diingatkan bahawa mereka berdepan tindakan undang-undang yang tegas.

“Sehingga 13 Mei lalu, sebanyak 5,001 operasi sudah dilaksanakan dan lebih 60,000 individu diperiksa serta lebih 30,000 PATI ditahan,” jelas beliau.

Tegasnya, KDN tidak akan berkompromi dalam usaha membanteras PATI di negara ini, sejajar dengan komitmen untuk memperkukuhkan kedaulatan undang-undang serta keselamatan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast