TANJUNG MALIM — Semua pelajar baharu ijazah sarjana muda Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dharap memanfaatkan secara optimum segala ruang dan peluang di universiti yang menerajui pendidikan negara untuk menempa kecemerlangan akademik serta sahsiah.
Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff dalam satu kenyataan mengucapkan selamat datang kepada pelajar baharu dan ibu bapa yang hadir sempena Hari Pendaftaran Pelajar Baharu di Kampus Sultan Azlan Shah di sini, pada Sabtu.
Menurut beliau, kehadiran mahasiswa baharu ini membawa azam dan citra baharu bukan sahaja untuk diri sendiri dan keluarga, malah menjiwai aspirasi dan semangat UPSI.
“Pentingnya dalam pembelajaran harus dipastikan wujudnya keseimbangan kognitif dan sahsiah untuk mencipta keunggulan akademik, kemahiran serta keunggulan peribadi seorang mahasiswa yang luar biasa.
“Mahasiswa disaran tidak hanya fokus kepada pencapaian akademik sahaja, tetapi turut aktif menguasai kemahiran insaniah (soft skills), kepimpinan, dan daya cipta,” katanya.
Tambah beliau, UPSI memiliki kronologis warisan sejarah sejak zaman Sultan Idris Training College (SITC) pada tahun 1920-an dan hari ini UPSI dipandang tinggi kerana pelbagai kejayaan dicipta dalam pelbagai bidang pengajian sama ada oleh kakitangan mahupun pelajar.
“Saya juga suka mengingatkan semua pelajar baharu untuk sentiasa menjaga kesihatan mental, fizikal, dan memanfaatkan ekosistem sokongan kebajikan pelajar yang disediakan universiti.
”Menjadi warga UPSI bermakna anda menggalas amanah tradisi kecemerlangan. Manfaatkan setiap detik di bumi bertuah ini untuk menimba ilmu, mengasah bakat serta kepimpinan, dan akhirnya menjadi insan luar biasa dalam berbakti kepada masyarakat,” katanya.
Lebih 4,000 pelajar baharu mendaftar untuk melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda di UPSI pada sesi kali ini.
Pelajar baharu berkenaan bakal mengikuti pengajian ijazah sarjana muda di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Fakulti Sains Kemanusiaan, Fakulti Teknikal dan Vokasional, Fakulti Pembangunan Manusia, Fakulti Sains dan Matematik, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Fakulti Komputeran dan Meta- Teknologi, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan serta Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif. -MalaysiaGazette
















