IPOH – Impian Lovely Sabana Augustine untuk melanjutkan pengajian ke menara gading menjadi kenyataan apabila gadis dari Tumpat, Kelantan itu mendaftar sebagai mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim semalam.
Kejayaan itu cukup bermakna buat Lovely, 20, yang sebelum ini berdepan kekangan kewangan untuk meneruskan pengajian meskipun memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Cabang Empat, Tumpat.
Menurut kenyataan UPSI, Lovely hadir mendaftar ditemani ibunya E P Mek Kenui, 56, yang bekerja sebagai pekerja pembersihan, selain ahli keluarga lain.
Dua abangnya yang bekerja di premis makanan di Johor turut meluangkan masa menghantar adik mereka memulakan lembaran baharu sebagai mahasiswa.
Lovely, berketurunan Kadazan-Siam melahirkan rasa syukur dan berazam belajar bersungguh-sungguh bagi merealisasikan cita-citanya menjadi pendidik, sekali gus membantu mengubah kehidupan keluarganya.
“Saya terharu dan berterima kasih kepada semua pihak atas sumbangan yang diberikan kepada saya. Semoga kebaikan anda dibalas dengan keberkatan.
“Saya mungkin tidak mampu untuk membalas jasa kalian semua. Saya hanya manusia biasa sekiranya suatu hari jatuh atau tidak dapat mencapai semuanya doakanlah saya kerana ada hari di atas ada hari di bawah,” katanya.

Lovely berkata dia menerima panggilan temu duga bagi dua program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan iaitu Pendidikan Bahasa Melayu dan Pendidikan Moral sebelum ditawarkan mengikuti program Pendidikan Moral.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof Dr Norkhalid Salimin berharap Lovely bukan sahaja mengejar kecemerlangan akademik, malah bergiat aktif serta mengembangkan bakat sepanjang tempoh pengajiannya.
“UPSI hari ini bukan lagi seperti puluhan tahun dahulu, malah ramai pelajar melakar sejarah mencipta kejayaan di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya yang turut berkata UPSI memiliki pelbagai kemudahan dan suasana pembelajaran kondusif serta selesa yang boleh dimanfaatkan Lovely.
Pada 17 Ogos lepas, media melaporkan pelajar itu memerlukan bantuan kewangan bagi membolehkannya mendaftar pengajian di UPSI pada September setelah kisahnya itu tular di laman sosial Facebook.
Lovely Sabana ketika itu turut memerlukan bantuan komputer riba untuk menyokong pembelajaran.
UPSI telah mengenal pasti masalah pelajar itu dan telah mengambil tindakan proaktif berhubung isu keperluan bantuan untuk melanjutkan pelajarannya di universiti berkenaan.
Mendiang bapanya, Augustine Sandalun seorang anggota tentera di Kem Lok Kawi, Sabah, berketurunan Kadazan berasal dari Papar, Sabah meninggal dunia pada 10 Nov 2017 kerana serangan angin ahmar ketika usia Lovely 11 tahun. — BERNAMA
















