KUALA LUMPUR – Calon Program Ijazah Dalam Negara (PIDN) dan Program Khas Perubatan, Pergigian dan Farmasi Ijazah Pertama (PPF) bagi tahun 2026 boleh menyemak keputusan penajaan masing-masing mulai 5 petang hari ini.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata, semakan dibuka sehingga 25 September ini menerusi Portal Penajaan JPA.
Katanya, sebanyak 12,300 penajaan diperuntuk bagi kedua-dua program itu tahun ini membabitkan 12,000 penajaan menerusi PIDN dan 300 penajaan menerusi PPF.
PIDN melibatkan pelajar yang mengikuti pengajian ijazah pertama di Universiti Awam (UA), Politeknik Premier dan Government-Linked Universities (GLU) dalam bidang Sains/Veterinar; Kejuruteraan dan Teknikal/Teknologi/Seni Bina; serta Sains Sosial/Sains Sosial MADANI.
“PPF pula melibatkan penajaan dalam bidang Perubatan, Pergigian dan Farmasi bagi menyokong pembangunan bakat profesional dalam bidang kritikal, khususnya untuk memenuhi keperluan sektor kesihatan negara,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, pelajar yang berjaya akan menerima kemudahan penajaan di bawah Pinjaman Boleh Ubah Berasaskan Merit Akademik (PBU Akademik) yang diperkenalkan JPA pada Jun 2025.
“Pelaksanaan model ini memberikan pengiktirafan berdasarkan pencapaian akademik di samping menggalakkan pelajar mengekalkan prestasi terbaik sepanjang tempoh pengajian,” katanya.
Sementara itu, pelajar memanfaatkan sebaiknya peluang yang diberikan untuk mencapai kecemerlangan akademik, memperkukuh kompetensi dan menyumbang kepada pembangunan negara.
“JPA mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya dan berharap peluang penajaan ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk mencapai kecemerlangan akademik, memperkukuh kompetensi serta seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.- MalaysiaGazette















