BATU PAHAT – Profesor Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq dilantik semula sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai 15 September 2026 hingga 14 September 2028.
Pelantikan semula oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir itu bagi meneruskan khidmat beliau yang sebelum ini memegang jawatan sama bagi tempoh pertama bermula 15 September 2024 hingga 14 September 2026.
Sepanjang tempoh tersebut, beliau menerajui portfolio Hal Ehwal Pelajar dan Alumni dengan memberi tumpuan kepada agenda kemenjadian mahasiswa, kebajikan dan kesejahteraan pelajar, pembangunan kepimpinan serta pembentukan graduan yang holistik dan berintegriti.
Untuk rekod, Dr. Rasid, 54 mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), khususnya dalam bidang pelancongan.
Beliau memulakan kerjaya sebagai pensyarah di Politeknik Johor Bahru pada tahun 1998 sebelum menyertai UTHM pada tahun 2005.
Pemegang Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Perancangan Bandar dan Wilayah dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu sebelum ini pernah menjawat beberapa jawatan penting di UTHM termasuk Dekan Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Ketua Pusat Advanced Centre for Technical and Vocational Education (ACTiVE) serta menjalankan tugas sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa).
Dalam kepimpinan akademik, beliau turut memainkan peranan dalam memperkukuh agenda TVET melalui pembangunan program berorientasikan industri, termasuk penawaran Sarjana Muda Teknologi (Bachelor of Technology) dalam tujuh bidang di FPTV yang menggunakan pendekatan Work-Based Learning (WBL).
Ketika menerajui FPTV, beliau turut terlibat dalam pembangunan laluan pengajian bagi lepasan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) serta penawaran program Ijazah Sarjana Muda Industri Perkhidmatan Makanan menggunakan mod pengajian perantisan.
Selain pengalaman di peringkat universiti, Dr. Rasid turut pernah memegang tanggungjawab sebagai Pengerusi Majlis Dekan Pendidikan Awam Malaysia serta menganggotai Jawatankuasa Kerja Tadbir Urus TVET, Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK).
Di peringkat antarabangsa, beliau pernah dilantik sebagai ahli Lembaga Eksekutif Regional Association Vocational Technical Education (RAVTE).
Dalam meneruskan tanggungjawab sebagai TNC (HEPA) bagi tempoh kedua, pengalaman luas beliau dalam bidang akademik, TVET dan pembangunan mahasiswa dijangka dapat memperkukuh kesinambungan agenda pembangunan pelajar dan alumni UTHM.
Fokus berkenaan selari dengan aspirasi UTHM untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten dalam bidang masing-masing, malah mempunyai keperibadian unggul, nilai integriti, daya kepimpinan dan minda keusahawanan.
Sebelum ini, Dr. Rasid turut menyatakan bahawa pembangunan mahasiswa merupakan tanggungjawab bersama warga universiti, dengan aspek kemudahan dan kebajikan pelajar menjadi antara asas penting dalam memastikan kejayaan agenda kemenjadian mahasiswa.
Sementara itu, Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali turut mengucapkan tahniah di atas pelantikan semula itu dan berharap Prof. Rasid dapat menjalankan amanah yang diberikan untuk terus menerajui agenda pembangunan mahasiswa serta memperkukuh hubungan dan peranan alumni dalam menyokong kecemerlangan universiti.
“Saya berharap pengalaman, kepakaran dan kepimpinan yang dimiliki beliau dapat terus dimanfaatkan bagi memperkasa ekosistem pembangunan mahasiswa yang lebih holistik, inklusif dan responsif terhadap keperluan semasa.” katanya. – MalaysiaGazette
















