Luka pembedahan laparoskopi.

PERKEMBANGAN dalam bidang perubatan, khususnya pembedahan, telah mengubah cara rawatan penyakit usus pada masa kini. Jika suatu masa dahulu pembedahan usus hampir sinonim dengan luka besar di bahagian abdomen, kesakitan yang kuat, serta tempoh pemulihan yang panjang, keadaan itu kini mungkin dapat dielakkan.

Kemajuan teknologi dan kepakaran klinikal yang semakin berkembang telah memperkenalkan pendekatan yang lebih halus, dikenali sebagai pembedahan invasif minima. Dalam kalangan masyarakat, ia lebih dikenali sebagai pembedahan lubang
kunci.

Menurut Prof Madya Dr Mohd Firdaus Mohd Hayatj, Pakar Pembedahan Am dan Felo Pembedahan Kolorektal, Hospital Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Sabah, kaedah ini pada asasnya melibatkan penggunaan peralatan khas dan kamera berdefinisi tinggi untuk membolehkan pakar bedah melihat struktur dalam abdomen tanpa perlu membuat bukaan besar.

Beberapa luka kecil, biasanya antara 0.5 hingga 1.2 sentimeter (cm), sudah memadai untuk memasukkan kamera dan instrumen pembedahan ke dalam rongga abdomen. Bahkan, ada juga di sesetengah tempat menggunakan luka yang hanya sebesar 0.3 cm.

Melalui paparan skrin, pakar bedah dapat menjalankan prosedur dengan ketepatan yang tinggi. Perubahan ini bukan sekadar soal saiz luka. Ia membawa kesan langsung kepada pengalaman pesakit.

Dengan luka yang kecil, kebarangkalian untuk mendapat jangkitan kuman pada luka adalah rendah. Bahkan, kesakitan selepas pembedahan lazimnya lebih terkawal. Keperluan kepada ubat tahan sakit yang kuat juga berkurangan.

Pesakit boleh mula bergerak lebih awal, dan ini membantu mengurangkan risiko komplikasi seperti pembekuan darah atau jangkitan paru-paru. Pada masa yang sama, tempoh kemasukan ke hospital menjadi lebih singkat berbanding pembedahan
terbuka.

Para doktor sedang melakukan pembedahan secara laparoskopi.

Selain itu, aspek kosmetik turut menjadi pertimbangan, terutama bagi pesakit muda. Parut yang kecil dan kurang ketara memberi keyakinan yang lebih baik selepas sembuh. Walaupun faktor ini bukan keutamaan utama dalam rawatan penyakit usus,
ia tetap memberi kesan kepada kesejahteraan psikologi pesakit.

Pembedahan invasif minima kini digunakan untuk pelbagai jenis penyakit usus. Antaranya termasuk pembuangan ketumbuhan atau kanser usus dan rektum, rawatan polip yang tidak sesuai dikeluarkan melalui kolonoskopi, penyakit radang usus seperti penyakit Crohn dan kolitis ulseratif, serta keadaan kecemasan seperti usus tersumbat.

Dalam bidang pembedahan kolorektal, teknik ini telah menjadi satu pilihan penting dalam rawatan moden. Kejayaan pembedahan ini banyak bergantung kepada pengalaman dan latihan pakar bedah.

Teknik pembedahan laparoskopi memerlukan kemahiran khusus, termasuk koordinasi tangan dan mata yang baik serta keupayaan bekerja dalam ruang yang terhad. Tidak semua hospital atau pusat perubatan mempunyai kemudahan dan kepakaran yang sama.

Oleh itu, pesakit disarankan mendapatkan rawatan di hospital yang mempunyai pengalaman dalam menjalankan prosedur ini secara konsisten. Menurut Dr Khairul Hazim Hamdan, Pakar Pembedahan Am dan Pembedahan Kolorektal, Hospital Selayang, selain kepakaran teknikal, penjagaan selepas pembedahan juga memainkan peranan penting dalam menentukan hasil rawatan
yang baik.

Mutakhir ini, dengan adanya pelbagai penambahbaikan dalam proses penjagaan pesakit selepas pembedahan, kadar pemulihan pesakit juga lebih pantas dan lancar. Pendekatan yang melibatkan penglibatan pakar dari pelbagai bidang berbeza seperti
doktor bedah, doktor bius, pegawai nutrisi, farmasi, terapi fisio dan lain-lain memastikan setiap aspek perawatan pesakit diberikan tumpuan yang menyeluruh.

Sebelum pembedahan, pesakit akan diberikan penerangan yang jelas, tahap kesihatan pesakit akan dinilai dan sokongan pemakanan diberikan bagi memastikan pesakit berada dalam keadaan terbaik untuk menjalani pembedahan. Pengunaan ubat-ubatan yang lebih sesuai, dipadankan dengan teknik pembedahan invasif minima memastikan gangguan terhadap fungsi fisiologi tubuh badan pesakit adalah rendah.

Selepas pembedahan pula, pesakit digalakkan untuk mula minum, makan dan bergerak lebih awal berbanding dahulu.
Langkah-langkah ini membantu mengekalkan fungsi badan dan mempercepatkan proses pemulihan.

Ini membawa kepada pengurangan komplikasi pembedahan, dan menjadikan tempoh kemasukan ke hospital lebih singkat.
Tambahan pula, pendekatan ini juga dapat mengurangkan kesakitan, loya, kelemahan otot dan risiko jangkitan atau pembekuan darah yang merupakan isu-isu penting ditangani semasa proses pemulahan dari pembedahan.

Pada masa kini, teknologi pembedahan terus berkembang. Kaedah pembedahan robotik merupakan antara pembaharuan terkini dalam bidang pembedahan invasif minimum. Teknik ini membolehkan pembedahan yang rumit dijalankan dengan lebih jitu melalui visualisasi lebih jelas dan kawalan pergerakan yang lebih tepat, sekali gus mempercepat dan meningkat mutu penjagaan pesakit.

Sebagai kesimpulan, pembedahan usus tanpa luka besar merupakan satu kemajuan penting dalam bidang perubatan moden. Ia menawarkan banyak kelebihan dari segi keselesaan pesakit, tempoh pemulihan, dan kualiti hidup selepas rawatan.

Namun, penggunaannya perlu disesuaikan dengan keadaan setiap pesakit dan kejayaannya bergantung kepada gabungan kepakaran klinikal, kemudahan hospital, serta kerjasama pesakit sendiri. Dengan pendekatan yang tepat, kaedah ini mampu memberikan hasil rawatan yang selamat dan berkesan dalam pengurusan penyakit usus masa kini.

Oleh:  Prof Madya Dr. Mohd Firdaus Mohd Hayati, Pakar Pembedahan Am dan Felo Pembedahan Kolorektal, Hospital UMS, Universiti Malaysia Sabah &

 

 

Dr. Khairul Hazim Hamdan, Pakar Pembedahan Am dan Pembedahan Kolorektal, Hospital Selayang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here