SEREMBAN – Polis menahan seorang lagi pelajar lelaki berusia 16 tahun, menjadikan sehingga kini dua suspek ditahan bagi membantu siasatan kes kematian seorang pelajar tingkatan dua di Kuala Pilah, Jumaat lepas.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata suspek merupakan pelajar di sekolah yang sama, ditahan dan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah semalam untuk permohonan reman enam hari sehingga 3 Okt, bagi membantu siasatan.
Beliau berkata polis menjalankan siasatan menyeluruh dan satu pasukan siasatan khas ditubuhkan bagi membantu menyelesaikan kes ini, termasuk mencari punca sebenar kematian merangkumi aspek kemungkinan berlakunya insiden buli atau sebaliknya.
“Keputusan bedah siasat masih belum dapat ditentukan punca kematian mangsa dan polis sedang menunggu keputusan sampel yang dihantar ke Jabatan Kimia.
“Sebanyak 68 keterangan saksi direkodkan, bagaimanapun masih terdapat beberapa keterangan saksi akan dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata kes berkenaan masih lagi disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan menyeluruh masih dilakukan.
Alzafny berkata hasil siasatan lanjut mendapati, kejadian berlaku selepas solat Maghrib pada Jumaat lepas, ketika semua pelajar sepatutnya mengikuti sesi ulang kaji atau “prep” di asrama masing-masing.
Beliau berkata suspek kemudiannya memanggil mangsa ke biliknya di tingkat dua Blok A, sebelum memukul mangsa menggunakan getah paip pada bahagian tapak kaki beberapa kali.
“Mangsa turut dipukul pada beberapa bahagian badan, apabila keadaan mangsa kritikal kemudian warden asrama dihubungi dan mangsa di bawa ke hospital, kemudian doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
“Kita tidak dapat pastikan sama ada mangsa meninggal di asrama atau dalam perjalanan menuju ke hospital,” katanya.
Beliau berkata beberapa pelajar sekolah berkenaan turut tampil kepada polis dan mendakwa mereka pernah dibuli, oleh suspek pertama yang ditahan.
Media sebelum ini melaporkan Alzafny berkata seorang pelajar tingkatan empat direman enam hari bagi membantu siasatan, berhubung kematian seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di Kuala Pilah dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata pihaknya telah dimaklumkan mengenai satu kejadian mendatangkan kecederaan terhadap pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah di Kuala Pilah.
Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah dan disahkan meninggal dunia. – BERNAMA
















