Pengerusi Pakatan HARAPAN, Tun Mahathir Mohamad diiringi Presiden Pakatan HARAPAN, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bersama Timbalan Presiden Pakatan HARAPAN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mohamad Sabu menunjukkan LOgo Pakatan Harapan yang ditolok permohonannya oleh ROS di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 28 JULAI 2017

PUTRAJAYA – Pendaftaran Pakatan Harapan (PH) ditolak Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) hari ini kerana didapati logo dan simbolnya tidak sesuai.

Justeru, kepimpinan pakatan pembangkang itu akan menukar logo berkenaan secepat mungkin, kata Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“ROS telah membuat sedikit teguran berkenaan logo dan simbol yang mana mereka berpendapat logo dan simbol ini tidak sesuai kerana dia tidak memberi nama penuh pakatan.

“ROS mahu kita sebut kedua-dua nama iaitu Pakatan Harapan pada logo, sedangkan logo sekarang hanya tertera ‘Harapan’.

“Kita akan ambil teguran serta pandangan ROS dan akan menyediakan logo baharu serta akan mengemukakan semula untuk kelulusan segera,” katanya kepada pemberita selepas keluar dari pejabat ROS di sini hari ini.

Turut hadir ialah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin, timbalan presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Teresa Kok yang mewakili DAP.

Ditanya mengenai tempoh masa persiapan logo itu, beliau berkata ROS tidak memberikan tempoh masa tetapi pihaknya akan menyiapkan logo dalam tempoh dua hari lagi.

Ujarnya, perubahan pada logo baharu tidak menjadi masalah kerana PH sudah lama mempunyai alternatif berkenaan sejak logo pakatan dikemukakan secara dalam talian kepada agensi kerajaan itu.

“Kita sudah ada idea setelah mendapat panduan ROS dalam perkara ini kalau nak menambah baik dengan reka bentuk bunga dan sebagainya tetapi kena memastikan nama Pakatan Harapan ada pada logo.

“Berkenaan logo dan simbol kita dalam dua hari ini kita akan kaji cadangan orang profesional yang cekap melukis logo,” jelasnya lagi.

Menurut Mahathir, beliau hari ini bersama pemimpin tertinggi empat parti pembangkang dalam PH akan tampil untuk mengemukakan cadangan perlembagaan parti kepada ROS yang diwakili dua pegawai.

“Setakat ini tidak ada masalah dari segi perlembagaan kecuali logo dan simbol yang diminta tukar segera. Bagaimanapun kita mengharapkan kelulusan segera.

“Kelulusan awal penting sebab sekiranya Pilihan raya diadakan lebih awal, kita perlu bersiap sedia dan jika logo tak diluluskan, adalah sukar untuk kami mengelurkan sepanduk, poster, bendera, baju PH dan sebagainya.

Ditanya mengenai kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum PH dalam senarai kepimpinan menerusi perlembagaan yang disertakan, Mahathir yang juga Pengerusi PPBM berkata,soal personaliti itu tidak timbul.

“Apabila menyerahkan perlembagaan, kita tidak memberikan nama pemegang jawatan sebaliknya cuma menyebut nama jawatan sahaja, itu takda masalah, yang penting kelulusan segera ROS,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast