Salinan surat LHDN kepada Amran Mohamed yang dikatakan 'mati' walau masih hidup, yang tersebar meluas di Facebook

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini secara terbuka memohon maaf kepada keluarga salah seorang pembayar cukai pendapatan yang didakwa sudah meninggal dunia baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan, LHDN berkata ia berlaku kerana kesilapan teknikal pada status pembayar cukai berkenaan.

“LHDN ingin mengakui telah berlaku kesilapan data borang dan kecuaian di pihak kami dalam menentukan status pembayar cukai.

“Melalui semakan lanjut yang dibuat, LHDN mendapati pembayar cukai masih hidup dan dengan ini ingin memohon maaf kepada pembayar cukai tersebut atas kesilapan yang berlaku,” demikian menurut LHDN.

Menurut LHDN, satu surat permohonan maaf akan dihantar kepada pembayar cukai tersebut dan tindakan yang bersesuaian juga akan diambil bagi mengelakkan kesilapan sebegini tidak akan berulang pada masa hadapan.

Sebelum ini tular, satu surat daripada LHDN kepada pembayar cukai bernama Amran Mohamed, 45, yang statusnya ditulis meninggal dunia dan badan itu menuntut baki hutang sebanyak RM1,728.50 daripada waris beliau.

Polis bantuan itu hari ini terkejut apabila surat yang ditandatangani oleh pegawai Unit Pungutan LHDN Terengganu meminta isterinya menjelaskan baki hutang yang tertunggak.

Dalam pada itu, LHDN berkata sememangnya mempunyai kuasa menurut Seksyen 74 dan Seksyen 106 Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk membuat tuntutan baki cukai tertunggak kepada waris sah mana-mana individu yang meninggal dunia (si mati).

“Sekiranya waris sah si mati tidak mempunyai kemampuan untuk membayar tunggakan tersebut secara sekaligus, LHDNM menasihatkan waris sah si mati mengunjungi Pejabat LHDNM untuk perbincangan bayaran secara ansuran,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast