Majlis Bandaraya Pulau Pinang

PULAU PINANG –  Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP),  Datuk Maimunah Mohd. Sharif mengakui terdapat bayaran dibuat dua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini dalam penerimaan anugerah daripada Europe Bussiness Assembly (EBA).

Menurut beliau, bayaran itu masing-masing sebanyak RM20,680 oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) (kini Majlis Bandaraya) pada 2013 dan RM18,480 oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) pada 2014.

Bagaimanapun, menurut beliau, bayaran itu meliputi pakej penyertaan persidangan dan pembentangan kertas kerja pada majlis anugerah tersebut yang diadakan di Switzerland dan Itali.

Katanya,  MPPP pada 2013 dicalonkan oleh EBA untuk menerima anugerah ‘The Best Cities’ dan ‘The Best Municipal Managers’ manakala MPSP pula bagi anugerah ‘Best City’ dan ‘Best City Manager’ setahun kemudian.
Ujar beliau, ketika itu, pihaknya sudah menyemak mengenai pakej anugerah tersebut dan tidak mendapati sebarang perkara meragukan mengenai status ketulenannya.

“Kita juga percaya dengan kredibiliti EBA memandangkan banyak PBT lain termasuk institusi pengajian tinggi, jabatan kerajaan dan swasta serta orang perseorangan turut menerima anugerah daripada badan tersebut.

“Sebab itu saya memohon maaf kepada penduduk Pulau Pinang jika betul anugerah ini tidak tulen,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum ini, sebuah akhbar Cina mempersoal status anugerah diterima dua PBT berkenaan daripada EBA memandangkan terdapat laporan antarabangsa yang mendakwa mana-mana organisasi boleh membeli anugerah daripada badan berkenaan.

Pendedahan itu juga ekoran penjelasan yang dibuat media The Times di United Kingdom (UK) yang menafikan EBA mempunyai kaitan dengan Universiti Oxford seperti diiklankan organisasi berkenaan.

Malah, The Times turut mendakwa organisasi itu ditubuhkan ahli perniagaan daripada Ukraine yang menjual anugerah palsu membabitkan keuntungan berjuta-juta pound.

Media itu juga mendakwa EBA secara aktif menjual anugerah tersebut dengan mensasarkan syarikat dan organisasi dari negara dunia ketiga sekali gus dinilai sebagai ‘anugerah palsu’.  MalaysiaGazette