KUALA LUMPUR – Parti Gerakan akan menghantar tiga nama calon untuk pertimbangan presiden Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak bagi menghadapi pilihan raya umum PRU-14.
Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong yakin dengan ketiga -tiga calon yang telah dipilih sejak dua tahun lalu.
“Sejak dua tahun lalu kita telah memperkenalkan calon-calon kita untuk mula kerja.
“Mereka adalah orang sama iaitu Dr. Dominic Lau Hoe Chai untuk kawasan Batu, Lau Hoi Keong sebagai penyelaras di Segambut dan kami juga mencadangkan penyelaras kawasan Kepong, Ong Siang Liang,” jelas Siew Keong.
Walaupun pada PRU-13 lalu BN telah meletakkan calon dari Parti Progresif Penduduk (PPP) namun Gerakan yakin dengan calon yang akan dikemukakan.
Namun beliau menyerahkan kepada Najib untuk memuktamadkan keputusan akhir calon yang dipilih.
Siew Keong berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Negeri Parti Gerakan Rakyat Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2017 di sini.
Pada sidang media yang sama Mah memberitahu berdasarkan kajian yang dibuat Gerakan pola sokongan masyarakat cina terhadap BN melihatkan peningkatan.
“Pada tahun 2013 mengikut kajian sokongan masyarakat cina cuma 13.4 peratus tapi sekarang saya lihat sokongan semakin baik dan saya percaya melebihi 30 peratus.
“Kami mengambil kira perubahan dalam pilihan raya kecil Teluk Intan, Sungai Besar dan Kuala Kangsar,” tambahnya lagi.
Meskipun, pihaknya belum mengetahui tarikh PRU namun Gerakan sentiasa bersedia untuk menghadapinya dan akan menyokong semua parti komponen BN.- MalaysiaGazette