Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH), Muhammad Faiz Fadzil berucap pada Perasmian Konvensyen Nasional 2024 Parti Amanah Negara di Hotel KSL Esplanade, Klang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 25 JANUARI 2025
Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH), Muhammad Faiz Fadzil berucap pada Perasmian Konvensyen Nasional 2024 Parti Amanah Negara di Hotel KSL Esplanade, Klang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 25 JANUARI 2025

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) meminta ahlinya menghormati proses pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sedang berlangsung sebagai sebahagian daripada amalan demokrasi dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agungnya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, pemilihan itu merupakan urusan dalaman PKR dan semua pimpinan serta ahli Amanah diingatkan agar tidak mencampuri hal berkenaan.

“Memandangkan pentas pemilihan ini adalah urusan keluarga PKR, pimpinan dan ahli Amanah di semua peringkat tidak harus mencampuri proses ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, Amanah menekankan pentingnya menjaga hubungan kerjasama yang erat antara parti-parti dalam PH dan sebarang campur tangan boleh menjejaskan kesepaduan tersebut.

Sehubungan itu, semua ahli Amanah dinasihatkan agar tidak mengeluarkan kenyataan, mengulas atau memberi pandangan berhubung pemilihan PKR, terutamanya yang menunjukkan kecenderungan terhadap mana-mana calon.

“Semua ahli Amanah perlu mengelak daripada membuat sebarang komen atau memberi pandangan dalam mana-mana platform media ataupun wacana berhubung proses pemilihan ini,” katanya.

Tambah Muhammad Faiz, pendirian Amanah selaras dengan semangat muafakat politik dalam gabungan dan untuk memastikan setiap parti diberi ruang mengurus hal ehwal dalaman mereka tanpa gangguan.

Beliau menyeru agar semua ahli parti memelihara keharmonian dan kesepaduan yang telah lama terjalin antara Amanah dan PKR dalam menghadapi cabaran politik semasa dan masa depan.

Kenyataan itu hadir di tengah-tengah perhatian terhadap pemilihan kepimpinan PKR yang dijangka menarik minat ramai pihak dalam dan luar parti.

Proses pencalonan Pemilihan PKR 2025berlangsung pada 8 dan 9 Mei lalu secara dalam talian manakala proses bantahan dijalankan pada 11 dan 12 Mei, disusuli rayuan pada 13 dan 14 Mei.

Tarikh akhir penarikan diri ditetapkan pada 14 Mei, manakala senarai muktamad calon diumumkan pada 15 Mei. Tempoh berkempen berlangsung dari 15 hingga 22 Mei sebelum hari pengundian pada 23 Mei.

Kongres Nasional PKR, termasuk Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Kongres Wanita, dijadual berlangsung dari 21 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast