Ketua Penerangan Puteri UMNO, Nooryana Najwa Najib bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Foto MOHD ADZLAN, 12 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Gesaan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dibuat atas tanggungjawab untuk mempertahankan maruah parti serta mengangkat suara akar umbi dan bukannya didorong oleh emosi.

Ketua Penerangan Puteri UMNO Malaysia Nooryana Najwa Najib menegaskan sejak Pilihan Raya Umum yang lalu, UMNO telah memainkan peranan penting dan menunaikan tanggungjawabnya dalam membentuk serta memastikan Kerajaan Perpaduan kekal stabil demi kepentingan negara.

“Namun, persahabatan dan kerjasama politik yang ikhlas mesti berlandaskan rasa hormat, kejujuran, keadilan dan kepercayaan dua hala,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan mana-mana pihak agar tidak mengambil kesempatan atau memandang rendah terhadap komitmen yang telah diberikan UMNO.

“Jangan sampai kesabaran UMNO dianggap sebagai kelemahan, atau keikhlasan kita dalam mempertahankan kestabilan diambil mudah,” tegasnya.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil pada Ahad berkata, pemimpin Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO dinasihat tidak bertindak mengikut emosi, dengan mereka yang berada dalam Jemaah Menteri perlu memberi tumpuan kepada kepentingan negara terlebih dahulu.

Kata beliau, kenyataan itu disuarakan sebagai maklum balas kepada gesaan Ahmad Zahid yang mencabar mana-mana pihak yang mahu parti menamatkan kerjasama dalam kerajaan Pusat membubarkan Parlimen atau mengusulkan undi tidak percaya di Dewan Rakyat. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here