Iskandar A. Samad

PANDAN INDAH – Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad nampaknya enggan mengulas lanjut sama ada Pas Selangor akan mengikut jejak rakannya di Pulau Pinang yang membuat ba’iah menentang PKR dalam PRU-14.

Iskandar tidak menolak atau menafikannya tetapi memberi jawapan selamat walaupun secara terang-terangan Pas sudah memberi isyarat akan melawan PKR dimana-mana kerusi milik mereka.

“Saya tidak tahu, saya tidak mahu buat spekulasi… tapi saya nak nyatakan disini bahawa keadaan di Selangor berbeza daripada keadaan di Pulau Pinang dimana kita mempunyai satu kerjasama yang akrab di peringkat kerajaan,” kata Iskandar semasa ditemui di Rumah Terbuka Pas DUN Chempaka hari ini.

Apabila ditanya sekiranya ia berlaku di Selangor, Iskandar yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Selangor berkata beliau akan mengulas isu tersebut hanya jika ia sudah berlaku dan tidak buat masa ini.

“Kita tengok lah bila sudah berlaku,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai baiah di Permatang Pauh, Iskandar menjelaskan, keadaan tersebut berbeza sama sekali di Selangor memandangkan walaupun sudah tidak ada kerjasama politik dengan DAP dan PKR – mereka masih mempunyai hubungan baik sesama parti sama ada dalam peringkat kerajaan mahu pun akar umbi.

“Saya rasa keadaan di Permatang Pauh dan Selangor berbeza, di Selangor ini walaupun kita tidak ada hubungan politik dengan DAP dan PKR, tetapi dalam kerajaan kita masih bekerjasama.

“Kita masih ada kerjasama di peringkat kerajaan dan di peringkat ahli majlis, di semua peringkat dari atas ke bawah, exco dan dalam dewan kita masih lagi ada kerjasama.

“Jadi bermakna saya tidak lihat perkara sama akan berlaku di Selangor,” terang beliau.

Baru-baru ini Pas Permatang Pauh melakukan baiah tidak akan menyokong calon Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14.

Ikrar itu menunjukkan bakal berlakunya pengurangan undi PH di kubu kuat PKR.

Permatang Pauh merupakan kawasan Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak bekas Timbalan Perdana Menteri itu masih di dalam UMNO.

Walaupun dipenjara, ia masih menjadi kerusi selamat walaupun calonnya ialah isteri beliau, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Selama ini, kemenangan besar Anwar dan Wan Azizah datangnya daripada sokongan ahli-ahli Pas yang dahulu bersama mereka dalam Pakatan Rakyat.

Langkah tersebut isyarat jelas bakal berlaku pertembungan antara Pas dengan blok pembangkang, PH yang terdiri daripada parti DAP, PKR dan PAN (Parti Amanah Negara). – MalaysiaGazette.