Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh

MELAKA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhammad Akmal Saleh membidas amalan birokrasi dalam Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sehingga menjadi punca 34 murid sebuah sekolah agama di sini terpaksa belajar di atas lantai sejak setahun lalu.

Malah, beliau turut menempelak pegawai JAIM kerana kegagalannya memastikan kemudahan kerusi dan meja dapat digunakan murid setelah mendapat kelulusan Jabatan Kewangan dan Perbendaharaan Melaka sejak Disember tahun lalu.

“Peruntukkan dah masuk bulan 12 (2023), perlu sampai lima bulan? Ustaz buat apa ni ustaz?…inilah masalahnya kita ambil sambil lewa, buat banyak birokrasi akhirnya sampai lima bulan.

“Orang (rakyat) mengadu dekat saya tanya bila anak-anak boleh dapat tempat duduk (kerusi dan meja) sebab kita duduk dalam Mesyuarat Exco paling lambat pun dua tiga bulan sebab kita dah ada bajet,” tempelaknya menerusi media sosial TikTok rasmi beliau, hari ini.

Situasi itu bertambah tegang apabila individu yang dipercayai ustaz JAIM menyalahkan Jabatan Kewangan dan Perbendaharaan Melaka kerana lambat menguruskan perkara itu.

Ketua Pemuda UMNO itu kemudian segera menghubungi Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh untuk mendapat kesahihan namun dinafikan Salhah kerana telah meluluskan peruntukan yang diperlukan.

“Sebab birokrasi JAIM ini yang saya rasa melambatkan kerja (dan) kalau nak kerja buat cara nak kerja, ustaz jangan sambil lewa kerana kita ini berkhidmat untuk rakyat.

“Kalau tidak, saya bawa dalam Mesyuarat Exco, kita rombak semua JAIM lagi senang,” katanya yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka

Keadaan bertambah panas apabila ustaz berkenaan memaklumkan memerlukan tambahan lagi tiga bulan untuk menyelesaikan masalah itu.

“Lagi tiga bulan? Jumlah semua lapan bulan?. Tak apa saya tak nak dengan alasan, semua ada 34 murid, minggu depan saya beli.

“Kalau (pegawai) JAIM tak boleh buat kerja, ganti orang lain yang boleh buat kerja cepat. Kalau tak boleh kerja dengan rakyat Melaka, balik,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast