MELAKA – Melaka memerlukan wakil rakyat yang cekap dan serba boleh dalam mendepani sebarang masalah yang dibangkitkan rakyat.
Tegas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, masalah rakyat tidak akan dapat ditangani dengan berkesan jika seseorang wakil rakyat itu tidak mempunyai pengetahuan mendalam dalam pelbagai perkara..
“Rakyat datang mengadu hal pada kita tapi kita tidak tahu apa nak buat.
“Perlu diingat semua masalah rakyat akan diadu kepada kita, anak nak masuk sekolah jumpa kita, anak kena tangkap mengadu kat kita, nak bercerai pun mengadu dekat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang di Seri Bertam di sini hari ini.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri yang juga Penyelaras DUN Sungai Udang, Datuk Rais Yasin.
Ab Rauf berkata, program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) dan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat adalah pentas terbaik untuk menunjukkan kebolehan wakil rakyat dalam menyantuni masyarakatnya.

“Saya beritahu kepada wakil rakyat ataupun bakal wakil rakyat nak jadi wakil rakyat mesti menjadi arkitek, mesti pandai jadi peguam mesti pandai jadi jurutera dan mesti pandai menjadi akauntan.
“Kalau ada semua itu barulah kita boleh beri nasihat ataupun mencari jalan untuk menyelesaikannya. Kalau tidak ada kemahiran itu macam mana,” katanya.
Beliau memberi contoh pernah didatangi pasangan suami isteri yang bisu yang mahu bercerai.
“Bagaimana kita hendak mendepani masalah sebegini apabila pengadu itu tidak boleh berkata-kata kerana bisu.
“Di situ terletaknya kebijaksanaan seorang wakil rakyat dalam mendepani segala masalah yang ditampilkan oleh rakyat,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun berpuas hati dengan prestasi semua wakil rakyat di Melaka yang menunjukkan hasil kerja yang tinggi dalam menyantuni masyarakat di kawasan masing-masing. – MalaysiaGazzette
















