MERSING – Tindakan seorang remaja membunyikan ekzos motosikal dengan kuat sehingga bayi yang sedang tidur terjaga mengundang kemarahan seorang lelaki dalam kejadian di sebuah kedai serbaneka, di Jalan Ismail di sini, Jumaat lalu.
Bapa kepada bayi berkenaan berang dan hilang sabar sebelum bertindak memukul penunggang motosikal tersebut dalam premis sebelum kamera litar tertutup (CCTV) yang merakamkan kejadian itu tular dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan selepas video kejadian tersebut yang berdurasi satu minit 45 saat tular dalam media sosial.
“Kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu berlaku selepas suspek yang juga lelaki tempatan berang apabila mendakwa mangsa memotong kenderaan yang dinaikinya dan membunyikan ekzos dengan kuat hingga menyebabkan bayi yang dipangku isteri suspek terjaga dan menangis.
“Suspek kemudian bertindak memukul mangsa yang juga lelaki tempatan. Akibat kejadian itu, mangsa mendapatkan rawatan di hospital dan disahkan mengalami kecederaan soft tissue injury pada bahagian pipi kiri dan perut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Razak berkata, kertas siasatan dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
Menurutnya, kertas siasatan sudah dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Johor hari ini untuk tindakan selanjutnya.
Tambahnya, suspek diarahkan untuk dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Majistret di sini esok.
“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak mengikut emosi yang akhirnya boleh memudaratkan diri sendiri. – MalaysiaGazette
















