Sidang media Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar di IPK Selangor, hari ini.

SHAH ALAM – Siasatan kemalangan roller coaster di Sunway Lagoon yang mencederakan 10 pengunjung, bulan lalu dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hingga empat bulan untuk dilengkapkan berikutan masih menunggu hasil siasatan teknikal di lokasi kejadian.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan masih berjalan dan pihaknya perlu mendapatkan kerjasama beberapa agensi berkaitan bagi memastikan punca sebenar kejadian dikenal pasti.

Menurut beliau, antara agensi yang terlibat termasuk Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pasukan forensik.

“Daripada aspek teknikal, siasatan masih lagi dijalankan termasuk di tempat kejadian. Paling cepat, minimum tempoh untuk melengkapkan siasatan mengambil masa antara tiga hingga empat bulan.

“Ini kerana ia melibatkan kerjasama dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pasukan forensik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Selangor di sini, hari ini.

Mengulas jumlah keterangan yang telah diambil, Shazeli berkata, pihaknya sudah merakam banyak keterangan daripada pelbagai pihak bagi membantu siasatan.

Katanya, keterangan diambil daripada petugas taman tema, petugas roller coaster serta mangsa yang cedera dan tidak mengalami kecederaan.

“Kita turut mengambil keterangan daripada pegawai perubatan di pusat perubatan yang memberikan rawatan kepada mangsa.

“Insya-Allah, akan ada lagi keterangan dirakam bagi membantu siasatan, khususnya membabitkan aspek-aspek teknikal,” katanya.

Dalam kejadian pukul 9 malam pada 22 Ogos lalu, roller coaster di taman tema berkenaan membawa 22 pengunjung terdiri daripada rakyat Malaysia dan pelancong asing berusia antara 11 hingga 44 tahun, dengan 10 daripadanya mengalami kecederaan.

Siasatan awal JKKP Selangor sebelum ini mendapati, permainan itu mengalami kegagalan meluncur kira-kira 200 meter dari kawasan pelepasan sebelum sistem brek kecemasan diaktifkan secara automatik.

Akibat daripada perkara itu roller coaster tersebut telah berhenti secara mengejut.

Polis sebelum ini menyatakan, siasatan dilakukan bagi mengenal pasti sama ada wujud unsur kecuaian atau sabotaj dengan dapatan teknikal daripada agensi berkaitan akan dibandingkan bagi menentukan punca kejadian.

Semua pengunjung mendapatkan rawatan dan pemerhatian di hospital dengan kesemua mereka dibenarkan pulang manakala, permainan roller coaster di taman tema terbabit masih ditutup sementara untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here