Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (kiri) bersama Datuk Rais Yasin pada majlis penutup program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat di Sungai Udang, Melaka hari ini.

MELAKA – Jika semalam Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh membayang tarikh pembubaran Dewan Undangan. Negeri (DUN) Melaka dijangka berlaku dalam tempoh ‘4 Jumaat lagi’.

Namun hari ini nadanya agak berlainan apabila beliau membayangkan tempoh pembubaran itu lebih awal iaitu hanya tinggal ‘2 Jumaat’ lagi.

Perkara itu dinyatakannya ketika mengucapkan selamat harijadi ke-42 kepada Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin pada majlis pecah tanah Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sempena program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat peringkat DUN Sungai Udang di pekan Sungai Udang di sini hari ini.

“Orang tanya apa nak jadi kita, kita jangan risau hari ini harijadi Datuk Rais. Lagi dua kali Jumaat hari jadi kita.

“Kita memang menunggu-nunggu tarikh untuk kita nak serahkan kuasa ditangan kita untuk memilih siapa yang kita nak pilih,” katanya.

Menurut Ab Rauf, apabila tiba masa nanti, rakyat perlu bijak memilih pemimpin yang pandai merancang dan melaksanakan agenda pembangunan modal insan serta fizikal.

“Jadi kalau kita nak pilih tempat mandi pertama teluk kedua pantai. Kalau nak cari pemimpin yang pandai berbudi pertama elok kedua pandai,” katanya.

Perkara sama dibangkitkan Ab Rauf dalam ucapannya pada majlis penutup program itu di Seri Bertam di sini selepas itu.

Beliau membayangkan jangka masa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.

“Ya hari ini hari jadi dia (Rais), hari jadi kita tidak lama lagi. Ini kita semua menunggu tempoh pilihan raya. Ini Melaka bila nak pilihan raya.

“Bila nak ni, esok? Apa pun bila pun, tak kira masa bila pun kita mesti pen merah pen biru, Jangan pilih merah kita pilih biru,” katanya berseloroh.

Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara berseloroh meminta Ab Rauf Yusoh supaya menyegerakan membuat pengumuman berkaitan pembubaran DUN.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia bagi memberi ruang kepada rakyat, khususnya anak muda menentukan masa depan negeri. – MalaysiaGazzette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here