Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bersama Pengerusi RAHCORP, Datuk Abdul Rahim Mohd Ibrahim (tiga kanan) dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (dua kanan) melakukan gimik perasmian Projek Residensi RAH, di Tapak Projek Residensi RAH, Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 31 JULAI 2017.

KUALA LUMPUR – Segala pembangunan semula Kampung Baru harus tidak mengetepikan roh Islam dan Melayu, sekali gus mengekalkan sejarah kewujudan lebih 100 tahun kawasan itu, kata Timbalan Perdana Menteri.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keseimbangan antara pembangunan agama perlu selari supaya masyarakat tidak terus berada dalam kepompong jumud yang tidak mahu mengakui perubahan.

“Perubahan adalah gelombang yang harus dihadapi oleh semua pihak termasuk pemilik tanah di Kampung Baru ketika kerajaan mengambil tindakan proaktif menubuhkan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) pada 2012 hingga merealisasikan pembangunan tanpa mengetepikan nilai Islam dan Melayu,” katanya ketika merasmikan Projek Residensi RAH di tapak projek di Jalan Sultan Ali, Kampung Baru, hari ini.

Projek Residensi RAH yang berada di tengah-tengah segitiga emas Kuala Lumpur ini merangkumi 187 unit kondominium mewah 39 tingkat dengan nilai pembangunan kasar RM182 juta.

Projek itu dijangka siap Mei 2019 melibatkan keluasan 3,310 meter persegi.

Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Pengerusi RAH Properties, Datuk Abd Rahim Ibrahim.

Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut berharap masyarakat khususnya penduduk Kampung Baru agar dapat memberikan sokongan kepada pemaju pembangunan supaya kawasan ini setaraf dan selari dengan pembangunan di sekelilingnya.

“Saya rasakan bahawa sesuatu baik itu sukar dilakukan, terlalu banyak kekangan dan halangan biarpun perubahan itu diniatkan untuk tujuan baik, pasti Allah uji kita.

“Kebenaran itu selalunya datang untuk menguji sama ada kita mempunyai daya tahan, daya juang dan daya saing, sudah pasti penduduk asal Kampung Baru sudah diuji dengan ketiga-tiga elemen itu,” katanya. -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast