Dr. Irwan Seregar Abdullah

PUTRAJAYA – Perbendaharaan hari ini menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang antara lain bagi membendung sebarang anasir atau perlakuan rasuah di institusi itu.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar berkata IBR membawa harapan untuk menyaksikan semua pegawai, kakitangan serta agensi di bawah Kementerian Kewangan mengamalkan sikap bebas rasuah dan menolak sebarang bentuk pemberian rasuah.

“Ia juga membawa tanggungjawab bahawa sekiranya ada yang cuba memberi atau menerima rasuah, kita perlu melaporkan kepada SPRM,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut.

Mohd Irwan berkata IBR yang diikrar dan ditandatangani membawa ingatan kepada setiap mereka yang berkhidmat di bawah Perbendaharaan agar sentiasa memberikan perkhidmatan penuh berintegriti dan akauntabiliti dalam melaksanakan apa juga tanggungjawab yang diamanahkan.

Terdahulu, beliau bersama 17 pegawai pengurusan tertinggi Perbendaharaan Malaysia melafazkan ikrar menentang rasuah yang diketuai Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) Datuk Seri Dr Mohd Isa Hussain diikuti setiap daripada mereka menurunkan tandatangan sebagai tanda komitmen menjayakan apa yang diikrarkan.

Upacara bacaan ikrar dan menandatangani IBR itu disaksikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast